Gambar kenangan Hafizan (kiri) dengan Allahyarhamah Rohana (dua dari kanan) yang maut dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah pada 2015. Foto Ihsan Keluarga Hafizan
Gambar kenangan Hafizan (kiri) dengan Allahyarhamah Rohana (dua dari kanan) yang maut dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah pada 2015. Foto Ihsan Keluarga Hafizan
Nor Fazlina Abdul Rahim

“KAMI anggap menganggap pampasan yang diterima sebanyak RM1.17 juta ini adalah rezeki daripada arwah ibu tersayang.

“Mungkin arwah ibu mendoakan supaya kami sekeluarga dimurahkan rezeki dan diberi kesenangan selepas pemergiannya,” kata Hafizan Mohd Noor, 31, anak kepada jemaah haji, Rohana Ismail, 54, yang maut dalam tragedi kren tumbang di Masjidilharam, Makkah pada 2015.

Anak ketiga daripada lima beradik itu berkata, mereka sekeluarga tidak menaruh harapan untuk mendapat pampasan berkenaan memandangkan tragedi itu sudah lima tahun berlalu.

Menurutnya, keluarganya dihubungi pihak Tabung Haji (TH) pada hujung tahun lalu yang bertanyakan mengenai pemegang amanah sekiranya mendapat pampasan berkenaan.

“Awal tahun ini, kami mendapat surat daripada TH dan Amanah Raya yang meminta kami hadir ke Putrajaya untuk penyerahan pampasan itu.

“Tiada kata-kata yang mampu diluahkan melainkan bersyukur dengan rezeki ini. Kami juga berterima kasih kepada Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud atas pemberian pampasan ini.

“Insya-Allah kami akan manfaatkan duit ini dengan sebaik mungkin walaupun mengakui agak berdebar dengan persepsi masyarakat kepada kami sekeluarga selepas ini,” katanya ketika dihubungi di Kota Bharu hari ini.

Hafizan berkata, dia yang turut hadir di majlis penyampaian pampasan baru-baru ini turut mengalirkan air mata di majlis berkenaan apabila turut menyiarkan kembali tragedi yang berlaku di Makkah itu.

“Walaupun sudah lima tahun berlalu, sehingga kini kerinduan kami sekeluarga terhadap ibu masih segar.

“Semua kenangan dan tingkah laku ibu sering menjadi bualan kami adik-beradik,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan, Arab Saudi menyerahkan pampasan kepada waris semua tujuh jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam tragedi kren tumbang pada 2015 itu dalam pada satu majlis di Kompleks Islam Putrajaya.

Bayaran pampasan berjumlah kira-kira RM1.17 juta (1 juta Riyal) kepada setiap waris mangsa itu adalah pampasan peribadi Raja Salman kepada mangsa kejadian yang mengorbankan lebih 100 jemaah dan mencederakan lebih 230 lagi pada musim haji 1436 Hijrah.

Sumbangan itu disampaikan Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussien Saeed Qattan pada majlis jamuan tengah hari bersama waris dan mangsa anjuran TH bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 January 2020 @ 12:33 PM