KEJADIAN kren tumbang yang meragut 108 nyawa pada 2015.
KEJADIAN kren tumbang yang meragut 108 nyawa pada 2015.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji sedang berusaha mendapatkan kenyataan rasmi kerajaan Arab Saudi berhubung keputusan Mahkamah Makkah yang memutuskan semua mangsa kren runtuh pada musim haji 2015 tidak akan mendapat sebarang diyyah (wang pampasan) dan merumuskan kejadian itu berlaku disebabkan faktor alami serta bukan kecuaian manusia.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, Tabung Haji akan memaklumkan kepada semua waris jemaah sebaik menerima kenyataan balas daripada kerajaan Arab Saudi.

Kelmarin, mahkamah Makkah memutuskan semua mangsa kren tidak akan mendapat sebarang diyyah dan merumuskan kejadian itu berlaku disebabkan faktor alami serta bukan kecuaian manusia.

Mahkamah juga membebaskan semua 13 pekerja Binaldin Group yang bertanggungjawab terhadap kren gergasi di Tanah Suci itu.

Pada September 2015, seramai 108 mangsa terbunuh dan 238 cedera apabila kren yang digunakan untuk menaik taraf Masjidil Haram itu tumbang.

Malah, rentetan tragedi malang itu, Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al Saud dilaporkan bersetuju membayar pampasan kepada semua mangsa yang terbabit dalam nahas kren runtuh di Masjidil Haram.

Memetik laporan Saudi Press Agency, nilai pampasan dikategorikan kepada tiga bahagian iaitu kepada jemaah meninggal dunia, jemaah cedera yang hilang keupayaan kekal dan jemaah yang hanya mengalami kecederaan biasa.

Bagi jemaah meninggal dunia dan jemaah yang hilang keupayaan kekal, mereka akan dibayar SR1 juta (RM1.18 juta) sementara kecederaan biasa pula akan diberi pampasan SR500,000 (RM588,976).

Salah seorang waris daripada tujuh mangsa dari Malaysia, Muhamad Hafizan Muhammad Noor, 28, berkata dia sekeluarga sudah reda dengan pemergian ibu, namun terkejut dengan keputusan mahkamah di Makkah itu.

“Sebelum ini mereka (kerajaan) menjanjikan wang pampasan berkenaan,” katanya yang juga anak ketiga Allahyarham Rohana Ismail, jemaah haji Malaysia yang terkorban dalam tragedi itu.

Muhamad Hafizan berkata, pihak keluarga tidak kisah diberikan pampasan atau tidak, namun akan terus menunggu dan mempunyai beberapa perancangan untuk arwah ibu, antaranya untuk sedekah dan derma atas nama arwah.

“Bagaimanapun, kami reda dan berharap kerajaan Malaysia campur tangan terutama kepada mangsa yang cacat kekal serta memerlukan wang berkenaan,” katanya kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2017 @ 5:46 AM