Kuala Lumpur: Pengecualian visa menjadi satu langkah tepat bagi meningkatkan jumlah pelancong China ke Malaysia, kata Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Hamzah Rahmat.

Beliau berkata, ia bukan saja langkah yang wajar dilakukan, malah adalah kaedah yang sangat diperlukan bagi menggalakkan industri pelancongan negara yang agak merosot, khususnya ketika situasi kejatuhan nilai ringgit.

“Jumlah pelancong China menjunam 27.1 peratus suku pertama 2015. Jelas sekali kerugian Malaysia adalah keuntungan kepada negara lain,” katanya.

Beliau mengulas laporan akhbar baru-baru ini yang memetik Exco Pemuda UMNO Armizan Mohd Ali bahawa langkah mengecualikan visa untuk pelancong China bukan langkah tepat bagi meningkatkan jumlah kedatangan pelancong dari negara itu.

Laporan itu juga memetik Pengarah Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Zahari Abdul Aziz yang berkata, langkah itu mungkin dapat meningkatkan kedatangan pelancong dari China, tetapi ada antara mereka datang ke negara ini untuk bekerja dan menyebabkan gejala sosial.

Hamzah turut mengutarakan persoalan mengenai “mengapa sesetengah pihak paranoid terhadap gejala sosial ketika negara lain di seluruh dunia mengalu-alukan pelancong China dengan tangan terbuka.”

“Sesiapa yang terlalu mengambil berat mengenai gejala sosial perlu meneliti ‘isu besar yang tidak diendahkan’, iaitu berjuta pekerja tanpa izin di negara ini.

“Sebaliknya, hanya 1,493 pelancong China didapati tinggal lebih masa tahun lalu dan 612 terbabit dalam aktiviti tidak bermoral. Ia angka kecil terhadap 1,613,355 rakyat China yang melawat Malaysia pada 2014.

“Pelancong China golongan berbelanja terbesar di dunia dan mereka gemar membeli-belah di di London, Paris, Rom dan New York,” katanya. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 10:19 AM