GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafiz Ithnin


Kuala Lumpur: Penganjuran Tahun Melawat Malaysia ditetapkan semula pada tahun 2026 dengan sasaran ketibaan 26.1 juta pelancong asing membabitkan anggaran perbelanjaan domestik sebanyak RM97.6 bilion.

Justeru itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menerusi Belanjawan 2024, Kerajaan memperuntukkan RM350 juta bagi merancakkan promosi dan aktiviti pelancongan supaya Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan pilihan utama dunia.

"Peruntukan itu turut merangkumi kerjasama dengan industri dalam aktiviti promosi dan penganjuran acara pelancongan dalam dan luar negara dan bantuan kepada lebih 200 penggiat kebudayaan dalam menganjurkan aktiviti seni dan budaya.

"Selain itu, peruntukan itu turut meliputi geran padanan penerbangan carter dalam meningkatkan kemudahsampaian penerbangan antarabangsa ke Malaysia dan dana kepada Pusat Pelancongan Islam (ITC) untuk membangunkan industri pelancongan mesra muslim di Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kawasan, bangunan dan tapak warisan tumpuan pelancong akan terus dipelihara bagi mengekalkan keindahan, keselamatan dan kebersihan.

"Sebanyak RM20 juta disediakan untuk manfaat kerajaan negeri bagi menyelenggara dan memulihara lokasi tarikan pelancongan seperti Tasik Timah Tasoh di Perlis, Kenong Rimba Park di Pahang dan Pantai Teluk Kemang di Negeri Sembilan.

Sejumlah RM80 juta juga disediakan bagi memelihara dan memulihara bangunan dan tapak warisan yang berpotensi diiktiraf oleh UNESCO antaranya di Gua Niah, Sarawak, Lembah Bujang, Kedah dan Royal Belum, Perak.

"RM20 juta juga disediakan kepada Think City untuk mengangkat dan memulihara nilai Kuala Lumpur sebagai bandar raya kreatif dan

budaya," katanya.

Menyedari sumbangan besar sektor pelancongan dan pembuatan kepada pembangunan negara, Kerajaan komited untuk memperkenalkan inisiatif baharu di bawah Pelan Liberalisasi Visa Malaysia termasuk memudah cara kelulusan Pas Penggajian bagi pelabur strategik dalam sektor utama.

"Selain itu, kerajaan memperkenalkan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang untuk pelajar antarabangsa yang sudah tamat pengajian

bagi menampung keperluan tenaga mahir industri.

"Kerajaan turut menambah baik kemudahan Visa-On-Arrival dan pas lawatan sosial dan tawaran Multiple Entry Visa bagi menggalakkan kemasukan pelancong dan pelabur terutamanya dari India dan China," katanya.

Pada masa sama, Kerajaan juga bersetuju untuk melonggarkan syarat-syarat sedia ada bagi permohonan Malaysia My Second Home (MM2H) bagi meningkatkan kedatangan pelancong dan pelabur asing ke Malaysia.

"Penambahbaikan MM2H dijangka dapat meningkatkan aktiviti pelaburan dalam pasaran kewangan Malaysia dan industri hartanah negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Oktober 2023 @ 5:33 PM