Georgetown: “Kami akan bekerjasama dengan kerajaan Thailand mengeluarkan sijil kematian semua mangsa sebelum dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tindakan selanjutnya,” kata pegawai dari Kedutaan Malaysia di Thailand, Ang Soon Huat, semalam.

Beliau mengiringi jasad empat rakyat Malaysia yang maut dalam serangan bom di Ratchaprasong, Bangkok, yang tiba di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) di sini, malam kelmarin.

Empat jasad mangsa terdiri daripada Lee Tze Siang, 35, Lim Saw Gek, 49, Lee Jing Xuan, 4, dan Neoh Jai Jun, 20, diterbangkan dengan penerbangan TG425 dari Bangkok jam 7.25 malam (waktu Thailand) dan tiba jam 10.38 malam di Kompleks Kargo LTAPP.

Soon Huat berkata, semua jasad itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk menukar keranda dan proses berjalan dengan lancar sambil diiringi anggota polis trafik.

“Segala urusan sudah diuruskan sepenuhnya Kedutaan Malaysia di Thailand termasuk seorang lagi jasad mangsa dijangka akan dibawa pulang esok (semalam).

“Selepas ini, kami akan menguruskan sijil kematian semua mangsa sebelum merujuk kepada JPN,” katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Perubatan Forensik HPP Datuk Dr Zahari Noor berkata, urusan penukaran jasad ke dalam keranda berjalan dengan sempurna sejurus tiba di HPP jam 11.35 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 9:00 AM