Putrajaya: Tiada bukti menunjukkan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga orang pembantunya dibunuh dan mati dibakar, Mahkamah Rayuan di sini diberitahu semalam.

Peguam Manjeet Singh Dhillon berkata, pihak pendakwaan tidak mengemukakan apa-apa keterangan pada perbicaraan itu, secara langsung atau mengikut keadaanbahawa mangsa sudah mati atau dibunuh.

“Tiada bukti yang ditemui dari Lot 2001 (di Tanjung Sepat, Banting), yang konsisten dengan dakwaan berlaku pembunuhan empat orang di sana,” katanya sambil menambah tiada mayat dijumpai.

Manjeet Singh yang mewakili bekas peguam N Pathmanabhan juga berkata, terdapat bukti-bukti yang boleh dipertikaikan mengenai sama ada tulang yang ditemui ialah tulang haiwan atau manusia.

Beliau berkata, cebisan tulang yang ditemui nampaknya telah terdedah kepada kepanasan dan keadaan ini konsisten dengan sisa-sisa serpihan yang ditinggalkan selepas pembakaran mayat.

Manjeet Singh berkata, tempat tulang itu ditemui terletak berdekatan dengan kawasan abu mayat penganut Hindu dibuang ke laut dan kawasan itu terdedah kepada pergerakan air pasang surut dan limpahan air dari laut.

“Tidak dapat dinafikan apa yang dikemukakan di mahkamah adalah sisa serpihan tulang penganut Hindu tidak terkira banyaknya yang dibuang ke laut sejak beberapa generasi yang terdampar ke tempat ini akibat pergerakan pasang surut air,” katanya.

Beliau turut berhujah hakim Mahkamah Tinggi sudah tersalah arah apabila beliau secara salah menerima barang kes berdasarkan pengakuan dua tertuduh, U Suresh dan K Sarawanan yang masing-masing dituduh membakar mayat mangsa dan membuang abu mayat di Sungai Panchau.

Manjeet Singh berkata, barang kes diterima secara salah pada perbicaraan dan secara salah digunakan sebagai keterangan substantif atau keterangan menyokong.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2015 @ 9:13 AM