PELANCONG India menyusun beg diatas kenderaan untuk meninggalkan Kashmir di Srinagar. FOTO Reuters
PELANCONG India menyusun beg diatas kenderaan untuk meninggalkan Kashmir di Srinagar. FOTO Reuters
Reuters/AFP

RIBUAN penduduk dan pelancong berpusu-pusu meninggalkan Kashmir selepas kerajaan tempatan mengeluarkan amaran keselamatan berhubung kemungkinan berlaku serangan pengganas di kawasan itu, kata seorang pegawai kanan kerajaan semalam.

Anggota keselamatan India kelmarin mendakwa menemui bukti serangan yang dirancang militan berpangkalan di Pakistan ketika acara keagamaan utama bagi penganut Hindu di Kashmir.

Antara bukti berkenaan dilaporkan simpanan senjata dengan tanda dimiliki kumpulan seumpama itu, yang merancang serangan terhadap penganut Hindu yang datang ke gua Amarnath yang dianggap suci setiap tahun.

Susulan itu, notis kerajaan tempatan dikeluarkan semalam membatalkan acara itu dan meminta pelancong serta penganut pulang.

Bagaimanapun, perkara berkenaan mencetuskan panik menyebabkan ‘ribuan pelancong, penganut dan buruh’ berpusu-pusu meninggalkan Kashmir, kata seorang pegawai kerajaan tempatan kanan.

Menurutnya, kebanyakan daripada 20,000 penganut Hindu dan pelancong serta lebih 200,000 buruh meninggalkan wilayah itu, dalam pada kira-kira 60 pelancong antarabangsa tiba di Kashmir.

Jerman dan United Kingdom semalam mengeluarkan amaran kepada rakyat mereka supaya tidak melawat Jammu dan Kashmir.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 6:01 AM