TINJAUAN ulat tiket di Pudu Sentral.
TINJAUAN ulat tiket di Pudu Sentral.
Oleh Nur Lela Zulkipli

Kuala Lumpur: “Mahu pergi mana? Beli saja sini, tak perlu ke kaunter.” Itu dialog antara individu yang dipercayai ulat tiket bersama warga asing di Pudu Sentral, di sini, semalam.

Tinjauan Harian Metro di kawasan itu mendapati sindiket ulat tiket kini mula mendekati warga asing yang ingin ke luar negeri berikutan golongan itu masih belum mengetahui taktik berkenaan.

Penjual tiket bas ekspres yang ingin dikenali sebagai Ahmad berkata, pihaknya baru-baru ini berdepan dengan masalah warga asing yang tertipu dengan ulat tiket sehingga menyebabkan golongan itu gagal ke lokasi yang ingin dituju.

“Sebenarnya sudah banyak penguatkuasaan yang dijalankan sejak dulu, tapi kegiatan ulat tiket hanya terhenti untuk masa yang singkat saja.

“Warga asing dari Bangladesh dan Myanmar kini sering menjadi mangsa kerana kebanyakan orang tempatan sudah tahu ciri-ciri ulat tiket,” katanya ketika ditemui, di sini.

Katanya, warga asing juga sering dipaksa ulat tiket untuk membeli tiket palsu biarpun golongan itu sudah menolak tawaran itu.

“Jika warga asing menolak untuk membeli tiket bas daripada ulat tiket, mereka pula akan dimarahi sehingga boleh didengari orang awam,” katanya.

Sementara kakitangan swasta Noraisah Kassim, 47, berkata, pihak berkuasa patut meletakkan anggotanya secara kekal di Pudu Sentral bagi menyelesaikan isu itu.

“Setiap kali pihak berkuasa buat serbuan, memang ulat tiket akan lari. Tapi mereka akan mulakan semula selepas operasi tamat.

“Jadi, dengan adanya anggota penguat kuasa secara konsisten di kawasan Pudu Sentral, pasti ulat tiket akan beredar kerana takut akan ditangkap,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2015 @ 5:47 AM