FOTO Fardy Bungga
FOTO Fardy Bungga
Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Seramai 10 ulat tiket termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan anggota penguatkuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam operasi di Pudu Sentral, hari ini.

Dalam operasi selama sejam yang berakhir jam 9.30 malam tadi, kebanyakkan ulat tiket berusia lingkungan 25 hingga 53 tahun itu sedang asyik mencari pelanggan tanpa menyedari perbuatan mereka itu diperhatikan anggota penguatkuasa SPAD.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD, Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi dijalankan berdasarkan kepada aduan awam berkenaan isu ulat tiket yang mengambil keuntungan dengan menaikkan harga tiket bas.

Menurutnya, kumpulan ini sering menjadikan stesen ini tempat mengaut keuntungan terutamanya di musim perayaan dan hujung minggu.

"Semua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Pihak SPAD juga akan mempercepatkan proses siasatan dan semua mereka akan didakwa di Mahkamah pagi esok,"katanya pada sidang media di Pudu Sentral, sebentar tadi.

Menurutnya, SPAD akan menjalankan operasi ini dari semasa ke semasa dan berdasarkan rekod, SPAD sudah menahan seramai 215 ulat tiket di seluruh negara sejak tahun 2011.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Julai 2015 @ 11:29 PM