ANGGOTA penguat kuasa SPAD menyiasat ulat tiket yang ditahan dalam operasi di Pudu Sentral.
ANGGOTA penguat kuasa SPAD menyiasat ulat tiket yang ditahan dalam operasi di Pudu Sentral.
Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Seramai 10 ulat tiket termasuk seorang wanita warga Indonesia ditahan anggota penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam operasi di Pudu Sentral, di sini kelmarin.

Dalam operasi selama sejam berakhir jam 9.30 malam, kebanyakan ulat tiket berusia 25 dan 53 tahun itu sedang asyik mencari mangsa untuk mendapatkan keuntungan segera.

Bagaimanapun, kumpulan ulat tiket itu tidak menyedari perbuatan mereka itu diperhatikan anggota penguat kuasa SPAD yang bertindak menahan mereka.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan SPAD Mejar Jeneral (B) Datuk Che Hasni Che Ahmad berkata, operasi dijalankan berdasarkan aduan awam.

Menurutnya, kumpulan itu sering menjadikan stesen berkenaan tempat mengaut keuntungan terutama di musim perayaan dan hujung minggu.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 205 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Pihak SPAD juga akan mempercepatkan proses siasatan dan semua mereka akan didakwa di mahkamah,” katanya pada sidang media di Pudu Sentral, semalam.

Menurutnya, SPAD akan menjalankan operasi ini dari semasa ke semasa dan berdasarkan rekod, SPAD sudah menahan 215 ulat tiket sejak 2011.

Katanya, sempena perayaan Aidilfitri tidak lama lagi, SPAD akan mempertingkatkan pemantauan setiap masa tanpa henti untuk tempoh sebulan.

“Kami akan bekerja 24 jam untuk dua minggu sebelum dan dua minggu selepas hari raya nanti.

“Pemantauan ini akan diadakan di seluruh negara termasuk perkhidmatan teksi dan bas yang mengambil penumpang di luar terminal,” tegasnya.

Sementara itu, berhubung isu penggunaan aplikasi My Teksi dan Uber Teksi, Che Husni menegaskan pihaknya sentiasa memantau kegiatan pengambilan penumpang tanpa permit.

Katanya, SPAD hanya boleh mengambil tindakan terhadap kenderaan yang tidak mempunyai permit, tetapi penggunaan aplikasi itu terletak di bawah agensi penguatkuasaan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Julai 2015 @ 7:14 AM