ANIFAH (tengah) bersama Menteri Luar Brunei Putera Mohamed Bolkiah (kanan) serta Menteri Luar negara lain.
ANIFAH (tengah) bersama Menteri Luar Brunei Putera Mohamed Bolkiah (kanan) serta Menteri Luar negara lain.
Oleh Hairulazim Mahmud dan Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: “Mesyuarat Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48 semalam bersepakat mengulangi komitmennya tanpa berbelah bagi untuk menggalak serta melindungi hak asasi manusia dan asas kebebasan penduduk rantau ini,” kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Beliau berkata, elemen mengenai hak asasi manusia menjadi keutamaan dalam merangka Wawasan Komuniti ASEAN Pasca 2015.

Katanya, Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) sentiasa positif menyumbang dalam merencanakan dokumen khusus berkaitan isu hak asasi bersandarkan tiga tonggak ASEAN iaitu kesepaduan politik, integrasi ekonomi dan tanggungjawab sosial.

“Penting bagi kita memastikan elemen keunikan ASEAN sebagai nilai tambah dalam usaha berkenaan dengan mengambil kira nilai dan norma Asia yang bersangkut paut semua negara anggota,” katanya.

Beliau berkata selepas berakhirnya hari pertama AMM ke-48 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, semalam. AMM ke-48 akan berakhir Khamis ini.

Mesyuarat AICHR-AMM berkenaan dihadiri Menteri Luar dan wakil negara anggota ASEAN bersama wakil suruhanjaya berkenaan.

Interaksi kedua-dua entiti terbabit yang keempat diadakan selepas Kemboja dan Myanmar.

Dalam pada itu Anifah berkata, AICHR turut menyatakan kesediaan untuk melaksanakan Deklarasi Kuala Lumpur Berorientasikan Rakyat dan Berpaksikan Rakyat ASEAN yang diluluskan pada Sidang Kemuncak ke-26, di sini, April lalu.

“Saya juga dimaklumkan AICHR-Malaysia akan menganjurkan Simposium Kehakiman Serantau yang pertama dan Bengkel Remaja ASEAN dalam masa dua bulan lagi,” katanya.

Beliau berkata, dalam mesyuarat itu turut dibentangkan Laporan Tahunan suruhanjaya itu dan Pelan Lima Tahun 2016-2020 sebagai kesinambungan kepada kejayaan Pelan Lima Tahun 2010-2015.

Katanya, perkara lain yang turut dibentangkan ialah senarai program utama AICHR sepanjang tahun depan.

“Kami mendengar dan meneliti program serta aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun lalu dan menggalakkan AICHR terus menyumbang kepada usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 8:49 AM