Kuala Lumpur: Pegawai kanan ASEAN, hari ini, menyelesaikan mesyuarat persiapan menjelang Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48 yang akan berlangsung Selasa ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Othman Hashim yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata ia berakhir dengan nada positif dengan pegawai-pegawai kanan ASEAN bekerjasama baik dalam perbincangan yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Selain Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM ASEAN), Othman juga mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Suruhanjaya Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ).

Bercakap kepada pemberita, Othman berkata antara isu yang dibincangkan adalah usaha membentuk Komuniti ASEAN menjelang hujung 2015, dan kemasukan pendatang asing tanpa izin di rantau ini.

Othman juga berkata usaha Timor Leste untuk menganggotai ASEAN masih diteliti.

Mengenai SEANWFZ, beliau berkata perbincangan lanjut adalah diperlukan bagi membolehkan negara kuasa nuklear menandatangani protokol berkaitan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 9:20 PM