Anwar, gambar fail. FOTO Bernama
Anwar, gambar fail. FOTO Bernama
Zanariah Abd Mutalib


Kuala Lumpur: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia sedia bekerjasama dengan Indonesia, termasuk dalam aspek penugasan pasukan pengaman di Palestin jika diberi mandat oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Komitmen itu dinyatakan Perdana Menteri dalam perbualan telefon bersama Presiden Terpilih Indonesia Prabowo Subianto, yang juga Menteri Pertahanan negara itu, hari ini.

Dalam perbualan selama kira-kira tiga minit itu, Perdana Menteri berkata, beliau dan Prabowo sempat bertukar pandangan mengenai isu semasa, khususnya peranan Prabowo dalam mewakili Indonesia ke persada antarabangsa akhir-akhir ini serta membawa visi, kolaborasi dan keamanan serantau serta sejagat.

"Saya menyambut baik gagasan kerjasama dalam misi pengaman antarabangsa Malaysia-Indonesia, dan kolaborasi yang boleh diperluas ke peringkat serantau Asean," kata beliau melalui Facebooknya.

Perdana Menteri berkata, beliau juga menitipkan kesyukuran atas kejayaan pembedahan yang dijalani Probowo baru-baru ini.

"Turut mendoakan Prabowo diberikan rawatan baik dan penjagaan rapi sepanjang tempoh pemulihan, selain diberikan kesembuhan segera untuk bingkas kembali melaksanakan tanggungjawab diamanahkan," katanya.

Prabowo menjalani pembedahan untuk pemulihan kecederaan yang dialami ketika bertugas dalam dunia ketenteraan sebelum ini.

Di akhir perbualan, Perdana Menteri turut menzahirkan harapan supaya pilihan raya Indonesia yang bakal berakhir dengan Pemilihan Kepala Daerah (Pilkada) pada 27 November tahun ini berlangsung dengan baik dan dipermudahkan.

"Moga segala persediaan untuk pelantikan Prabowo sebagai Presiden pada 20 Oktober 2024 akan berjalan dengan lancar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 8:07 PM