KUALA LUMPUR: Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN di Kuala Lumpur begitu padat dengan perbincangan bertumpu pada pelaksanaan rangka tindakan Komuniti ASEAN serta Visi Komuniti ASEAN 2025.

Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia, Datuk Othman Hashim berkata, mesyuarat di Pusat Dagangan Dunia Putra, venue Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-48, juga akan menyentuh tentang pergerakan luar biasa manusia di Asia Tenggara dan isu Laut China Selatan.

"Menteri-menteri akan mengambil perhatian perkembangan pelaksanaan pelan tindakan itu tatkala ASEAN sedang menuju ke arah merealisasikan Komuniti ASEAN tahun ini," katanya pada taklimat media.

AMM ke-48 dirasmikan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Othman berkata, selaku pengerusi ASEAN, Malaysia akan terus memantau kemajuan pelaksanaan baki butiran yang disenaraikan dalam pelan tindakan bagi tiga teras Komuniti ASEAN yang meliputi ekonomi, politik-keselamatan dan sosio-budaya.

Perbincangan menteri-menteri luar rantau ini diadakan dalam bentuk sesi pleno dan sesi pemukiman.

Othman berkata, mereka juga kemungkinan besar akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang lain seperti keganasan dan kebangkitan ekstremisme ganas dan kegiatan radikal.

AMM ke-48 akan disusuli dengan Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Campur Tiga ke-16, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur ke-5 dan Forum Serantau ASEAN ke-22. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 3:32 PM