JKM Daerah Kuala Selangor mencari ibu kepada kanak-kanak perempuan, Mariam @ Dalisha. FOTO Ihsan JKM Daerah Kuala Selangor
JKM Daerah Kuala Selangor mencari ibu kepada kanak-kanak perempuan, Mariam @ Dalisha. FOTO Ihsan JKM Daerah Kuala Selangor
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kuala Selangor mencari wanita yang meninggalkan anaknya kepada pasangan suami isteri pada 2022, sebelum menghilangkan diri.

Wanita dikenali sebagai Karlina yang bukan warganegara itu diminta tampil bagi melengkapkan siasatan dan penempatan anak perempuannya.

Pelindung Kanak-kanak JKM Daerah Kuala Selangor, Intan Shafika Shaidan berkata, kanak-kanak perempuan dikenali sebagai Mariam @ Dalisha itu sudah dirujuk kepada pihaknya pada 11 Jun lalu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta Kanak- Kanak 2001. Dia ditempatkan dalam jagaan sementara Orang Yang Layak dan Sesuai mengikut peruntukan Seksyen 19(2) Akta Kanak-Kanak 2001 bermula 1 Julai ini sehingga 25 September depan.

"Sehubungan itu, kami memerlukan maklumat berhubung ibu kandung kanak-kanak terbabit bagi membolehkan siasatan dilengkapkan dan penempatan dapat dilakukan dengan sewajarnya," katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya ke Bahagian Kanak-Kanak di Pejabat Kebajikan Masyarakat Kuala Selangor menerusi talian 03-32891495.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Julai 2024 @ 7:25 PM