ANTARA menteri ASEAN yang hadir pada  Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN  Ke-48 di PWTC, semalam.
ANTARA menteri ASEAN yang hadir pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-48 di PWTC, semalam.

Kuala Lumpur: Pergerakan luar biasa manusia di Asia Tenggara menjadi satu daripada isu utama dibincangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) Ke-48 bermula hari ini, kata Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, mengambil perhatian ia berkait rapat dengan isu Rohingya.

Beliau berkata, selaku pengerusi ASEAN, Malaysia berperanan sebagai peneraju untuk membincangkan isu itu apabila ia memanggil Mesyuarat Peringkat Menteri tiga pihak membabitkan Malaysia, Indonesia dan Thailand di Putrajaya pada 20 Mei.

Anifah berkata demikian dalam temu ramah sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN Ke-48, Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan yang dianjurkan Malaysia selaku tuan rumah dari 1 hingga 6 Ogos.

Malaysia memulakan inisiatif itu apabila ia memanggil bagi mesyuarat itu susulan laporan bahawa bot membawa 1,158 warga Bangladesh dan Rohingya dari Myanmar, termasuk wanita dan kanak-kanak mendarat secara haram di Langkawi, Kedah pada 10 Mei dan angka itu dilaporkan yang tertinggi setakat ini.

Mesyuarat tiga pihak itu dimuktamadkan dengan Indonesia dan Malaysia bersetuju untuk memberikan bantuan kemanusiaan, dengan menawarkan tempat perlindungan sementara kepada 7,000 migran yang masih berada di laut pada ketika itu.

Anifah membacakan kenyataan bersama selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Indonesia, Retno Marsudi dan Jeneral Tanasak Patimapragor dari Thailand di Putrajaya untuk menangani masalah kebanjiran migran berkenaan.

Sementara itu pada 25 Mei, polis Malaysia mengumumkan penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia di Bukit Wang Burma, Wang Kelian dekat sempadan Thailand-Malaysia.

Anifah menegaskan, Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara terjejas dan anggota masyarakat antarabangsa dalam usaha untuk menangani isu migran tanpa izin, termasuk pemerdagangan manusia dan penyeludupan manusia di rantau ini.

“Malaysia turut mengadakan perbincangan dua hala dengan Myanmar berhubung isu ini,” jelasnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan mesyuarat AMM ke-48 esok. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2015 @ 5:04 AM