SYATINI menyediakan kuih akok. Gambar kecil, kuih akok yang suah siap dimasak.
SYATINI menyediakan kuih akok. Gambar kecil, kuih akok yang suah siap dimasak.
Oleh Siti Nadzirah Che Mud


Tumpat: Ramadan adalah bulan rezeki kepada peniaga yang bijak dan rajin berusaha untuk memperoleh pendapatan berlipat kali ganda.

Buktinya, Syatini Yatim, 25, yang menjalankan perniagaan warisan sejak 15 tahun lalu mampu memperoleh pendapatan RM1,000 sehari dengan jualan lebih 2,500 biji kuih akok.

Syatini berkata, pada hari biasa, dia menyediakan antara 500 hingga 700 biji kuih akok untuk dijual sendiri di Kampung Semat Jal, di sini, selain memenuhi tempahan daripada peniaga tempatan.

“Pada bulan Ramadan permintaan kuih akok meningkat empat kali ganda berbanding hari biasa dan keadaan ini menyebabkan kami tidak menang tangan untuk membuatnya.

“Dulu saya meraih RM300 sehari, kini lebih RM1,000 sehari dengan menjual kuih itu,” katanya

Menurutnya, keunikan akok yang dijual berbanding yang lain, adalah rasanya yang tidak terlalu manis sehingga ia diminati ramai.

“Selain itu, kaedah membakarnya dengan menggunakan sabut kelapa berjaya menaikkan ‘bau’ akok berkenaan,” katanya.

Katanya, dia juga menghasilkan kuih kemboja yang turut mendapat sambutan menggalakkan setiap kali Ramadan.

“Alhamdulillah, rezeki bertambah terutama pada bulan Ramadan. Saya juga menerima tempahan terutama untuk majlis keramaian seperti perkahwinan, pertunangan, tahlil dan Aidilfitri.

“Walaupun harga barangan meningkat, saya masih menjual dengan harga sama supaya tidak membebankan orang ramai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Jun 2015 @ 7:58 AM