Pengusaha kuih bahulu, Nazirah Mad Desa. FOTO AINAL MARHATON ABD GHANI
Pengusaha kuih bahulu, Nazirah Mad Desa. FOTO AINAL MARHATON ABD GHANI
Ainal Marhaton Abd Ghani

Kuantan: Peniaga kuih tradisional di sini mengeluh kerana masih berdepan kesukaran mendapatkan bekalan telur ayam di pasaran di sebalik kerajaan menguar-uarkan bekalan mencukupi dan mampu menampung permintaan.

Peniaga bahulu dan kuih akok, Mohd Adnan Mohd, 40, berkata dia terpaksa menghentikan jualan sejak beberapa minggu lalu berikutan kesukaran mendapat bekalan telur ayam dalam kuantiti yang banyak.

Menurutnya, dia perlu menyediakan bekalan telur yang banyak bagi memastikan jualan dan tempahan pelanggan dipenuhi.

"Saya perlukan 100 biji telur sehari untuk membuat kuih akok dan 60 biji untuk bahulu. Setiap dua atau tiga hari saya terpaksa berkejar mencari di beberapa pasar raya dan kedai runcit. Nasib baik ada, kalau tidak tempahan terpaksa ditolak.

"Waktu ini, saya lebih fokus membuat pelbagai jenis roti kerana tidak memerlukan telur sebagai bahan campuran," katanya di sini, hari ini.

Mohd Adnan berkata, dia juga terpaksa mengehadkan penghantaran bahulu di kedai runcit dan kedai makan kerana tidak dapat menampung jumlah permintaan.

"Nak beli telur Omega mahal, RM20 sepapan memang tak mampu dan rasa tak berbaloi untuk buat kuih. Apa pilihan yang saya ada sebagai peniaga kecil?" katanya.

Manakala Nor Hafiza Othman, 41, pula berkata, dia terpaksa membeli daripada pembekal dengan harga RM13.80 sepapan untuk telur gred A.

"Walaupun kena beli minimum 20 papan saya tidak kisah kerana sudah tidak perlu lagi mencari di pasar raya atau kedai runcit.

"Saya pernah menghabiskan RM30 untuk minyak kereta sehari kerana terpaksa mencari telur di merata tempat," katanya yang berniaga makanan tradisional kuih akok dan kuih bakar di Jaya Gading, di sini.

Menurutnya, untuk menyediakan kuih jualannya itu, dia memerlukan antara 100 hingga 190 biji telur sehari menyebabkan dia perlu mendapatkan bekalan telur yang mencukupi.

Seorang lagi pengusaha kuih bahulu, Nazirah Mad Desa, 53, mempersoalkan kenyataan kerajaan yang menyatakan bekalan telur ayam mencukupi di pasaran.

"Situasi sudah tidak sama dengan dulu. Kalau dahulu kita boleh nampak bekalan telur tidak pernah putus di semua kedai atau pasar raya. Sekarang, susah sangat nak dapat.

"Sebagai pengusaha, saya perlukan 150 sarang telur seminggu penghantaran ke beberapa premis Agro Bazaar selain berniaga di pasar tani.

"Ramai rakan peniaga kuih yang banyak guna telur merungut selalu tak cukup kerana kedai dan pasar raya hadkan pembelian antara dua dan tiga sarang sahaja menyebabkan kami terpaksa mencari pembekal utama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Disember 2022 @ 1:22 PM