Hazira Ahmad Zaidi


Machang: Pengusaha akok di Kampung Gong, Pulai Chondong, di sini, memperoleh limpahan rezeki di bulan Ramadan apabila mampu menjual sehingga 1,000 biji akok setiap hari sepanjang bulan suci ini.

Nik Hasnah Nik Hassan, 44, berkata, pada hari biasa, jualan akok di kedainya hanya mampu terjual di antara 200 hingga 400 biji sehari, namun ia meningkat dua kali berganda pada Ramadan menyebabkan dia tidak menang tangan untuk membuatnya.

Katanya, pada hari biasa, dia hanya dibantu suami, Nasir Samat, 47, untuk membakar akok, namun sepanjang Ramadan, dia dibantu oleh lapan pekerja.

"Seawal 6.30 pagi kami sudah mula bekerja untuk proses penyediaan dan membakar akok bagi pelanggan yang datang membelinya di kedai selain memenuhi tempahan daripada jabatan kerajaan.

"Jualan akok mereka mendapat sambutan menggalakkan sekali gus memberi peluang kepada kami untuk menambah pendapatan sepanjang Ramadan ini," katanya ketika ditemui di Kampung Pangkal Gong di sini.

Ibu kepada tiga anak berusia antara 14 hingga 21 tahun ini berkata, akok yang dijual itu adalah resepi yang diolahnya sendiri, sejak mula berniaga sembilan tahun lalu.

NIK Hasnah (kanan) turut dibantu suaminya, Nasir bagi menyediakan tempahan kuih akok sepanjang Ramadan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
NIK Hasnah (kanan) turut dibantu suaminya, Nasir bagi menyediakan tempahan kuih akok sepanjang Ramadan. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

"Bagi penyediaan akok sepanjang Ramadan, sebanyak 2,500 telur diperlukan pada setiap hari, selain 300 kelapa dan juga kismis bagi menyedapkan lagi rasa akok selepas ia siap dimasak.

"Rata-rata pelanggan yang pernah mencuba kuih akok ini memuji rasa akok bunga kismis ini kerana ia berbeza dengan akok biasa dijual," katanya.

Nik Hasnah berkata, membakar akok ini ada caranya, jika tidak ia akan hangus atau tidak masak seperti sepatutnya.

"Walaupun proses untuk membakar akok pandan itu memang nampak senang, tetapi sebenarnya ia perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan kuih itu menepati cita rasa pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Mac 2023 @ 9:38 AM