Mohamad Halim  (kiri) bersama pegawai membentangkan hasil siasatan pada sidang media kehilangan Kapal Tangki MT Orkim Harmony di Pelabuhan Klang.
Mohamad Halim (kiri) bersama pegawai membentangkan hasil siasatan pada sidang media kehilangan Kapal Tangki MT Orkim Harmony di Pelabuhan Klang.
Oleh Amir Abd Hamid

Pelabuhan Klang: Siasatan oleh Jabatan Laut Malaysia berkaitan kehilangan kapal tangki Malaysia MT Orkim Harmony pada Khamis lalu menemui hasil meragukan apabila Sistem Amaran Keselamatan Kapal (SSAS) tidak diaktifkan.

Pengarah Bahagian Keselamatan Pelayaran Jabatan Laut, Kapten Mohamad Halim Ahmad berkata, alat sistem amaran yang diletakkan di tempat terpencil yang hanya diketahui nakhoda atau kapten kapal dan sepatutnya sudah diaktifkan sebaik saja ada kejadian jenayah terhadap kapal berlaku.

Beliau berkata, sistem itu akan beroperasi apabila diaktifkan secara manual dan hanya kapten tahu lokasi dan pengendaliannya.

“Jika sistem itu diaktifkan, pihak kami dan syarikat secara automatik akan mengetahui lokasi kapal itu berada dan tindakan lanjut boleh segera dilakukan.

“Selain itu, kawasan kapal tangki itu hilang tiada capaian radar pihak kami, namun pergerakan kapal itu sehingga komunikasi terputus boleh diimbas semula menggunakan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) kaedah satelit.

“Bagaimanapun sistem AIS juga seolah-olah ditutup oleh orang yang tahu sistem berkenaan. Tetapi ada juga kemungkinan sistem AIS itu dirosakkan dengan cara memotong kabel atau memecahkan alat yang terletak di anjung kapal itu,” katanya dalam taklimat khas di Ibu Pejabat Jabatan Laut, di sini, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, katanya, waris terdekat kapten dan kru kapal semalam sudah bertemu pihak syarikat perkapalan dalam perjumpaan tertutup di satu lokasi di ibu negara untuk taklimat kebajikan.

Beliau berkata, Jabatan Laut dan Institut Kelautan Malaysia (IKMAL) turut menghantar wakil untuk bantu memberi kaunseling kepada waris.

“Perbincangan bersama dalam pertemuan itu juga, gaji kru akan dibayar seperti biasa sehingga kes selesai untuk membantu waris.

“Pada masa sama Jabatan Laut sedang bekerjasama dengan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada waris yang akan dilakukan segera supaya membantu waris menghadapi situasi sukar kehilangan ahli keluarga ketika ini.

“Syarikat perkapalan sudah menjalankan tanggungjawab mereka untuk hal ehwal kebajikan waris kru kapal termasuk menawarkan tempat khas kepada waris berkumpul, namun pihak keluarga masih belum melihat keperluan itu,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Laksamana Madya Maritim Datuk Ahmad Puzi Ab Kahar ketika dihubungi berkata, pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang menunggu kelulusan negara jiran untuk membolehkan aset pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dikerah ke perairan mereka.

Menurutnya, negara jiran terbabit ialah Indonesia, Singapura, Vietnam dan Thailand.

“Kawasan pencarian terkini bagi aset Malaysia diperluaskan merentasi perairan sempadan merangkumi keluasan 120,000 kilometer persegi.

“Buat masa ini, aset negara jiran juga melakukan pencarian kapal tangki itu di perairan masing-masing. Tiga kapal dari Indonesia membantu pencaraian di kepulauan Anambas dan Natuna.

“Selain itu, kami mendapat bantuan pesawat Poseidon dari Amerika Syarikat dan dari Australia iaitu satu P3 Orion,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 7:10 AM