KAPAL berkenaan. FOTO Ihsan APMM
KAPAL berkenaan. FOTO Ihsan APMM
Izlaily Nurul Ain Hussein


PADAH berlabuh tanpa kebenaran, sebuah kapal tangki ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Johor Timur di Kota Tinggi, semalam.

Dalam kejadian 4.15 petang itu, kapal tangki yang berdaftar di Majuro, Marshall Islands, ditahan di kedudukan kira-kira 11.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Penawar.

Pengarah APMM Zon Maritim Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal tangki dengan tanda nama ‘Roil Orchird’ sepanjang 249 meter itu dikendalikan 23 kru termasuk nakhodanya (Master) yang juga warga India dan Ghana.

“Semua kru terbabit berusia antara 19 hingga 59 tahun turut ditahan dan dua kru kapal tangki yang paling kanan diturunkan dan dibawa ke Zon Maritim Tanjung Sedili untuk tindakan lanjut.

“Selepas pemeriksaan, kita mendapati kapal tangki itu gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh daripada Pengarah Laut serta tanpa sebarang pemakluman kecemasan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Pengarah Laut.

Menurutnya, APMM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak dan akan mengambil tindakan sewajarnya sertamemastikan undang-undang sentiasa dipatuhi demi kesejahteraan perairan negara khususnya Perairan Johor Timur.

“Pemilik kapal sentiasa diingatkan supaya memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) sebelum melabuhkan sauh,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 November 2019 @ 12:33 PM