KAPAL tangki yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Jarak, semalam. FOTO Ihsan APMM
KAPAL tangki yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Jarak, semalam. FOTO Ihsan APMM
Noor Hidayah Tanzizi

Lumut: Tindakan sebuah kapal tangki berlabuh tanpa kebenaran mengundang padah apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di perairan Pulau Jarak di sini, semalam.

Pengarah APMM Perak Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kapal bersama 19 kru itu ditahan di kedudukan 30.2 batu nautika tenggara Pulau Jarak pada 4.15 petang.

Menurutnya, kehadiran kapal tangki berkenaan dikesan Stesen Udara Maritim Subang (SUMS) dan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Lumut selepas dilihat mencurigakan sebelum melaporkan kepada pusat operasi APMM Perak.

"Susulan itu, dua aset termasuk Kapal Maritim (KM) Malawali diarahkan ke lokasi untuk tindakan lanjut. Pemeriksaan mendapati kapal berdaftar di Liberia itu kosong tanpa muatan.

"Kapal dikendalikan 19 kru terdiri daripada warga tempatan, Rusia, Liberia serta Ukraine berusia antara 30 hingga 65 tahun dan dipercayai dalam perjalanan dari Chittagong, Bangladesh menuju ke Singapura," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Shahrizan berkata, kapal itu ditahan mengikut Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) kerana melakukan kesalahan bersauh tanpa kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM).

"Kapal berkenaan bersama kru ditahan di 'South East Point' (SEP) di perairan Pulau Pangkor untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mac 2021 @ 4:31 PM