Oleh Wahi Aziz

Kuala Lumpur: “Perbuatan dia itu boleh saya anggap sebagai satu pengkhianatan terhadap perjanjian yang kami sudah persetujui secara ‘gentlemen’ sebelum ini.”

Demikian kenyataan pengarah dan penerbit, Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang terkilan dengan tindakan aktor Pekin Ibrahim ‘mengkhianati’ perjanjian antara mereka untuk bekerjasama dalam projek filem berjudul Mat Motor.

Ahmad Idham berkata, idea asal pelakon itu yang mereka kembangkan bersama sekitar tiga bulan lalu kononnya untuk menghasilkan filem berkenaan bersama ‘dilarikan’ dan diteruskan oleh Pekin dengan pihak lain di luar pengetahuannya.

“Sedangkan dia datang kepada saya dengan idea itu kononnya untuk saya mengarah dan menerbitkannya. Dia siap canang di akaun Instagram sekali mengenai projek itu.

“Sejak perjumpaan pertama kami, dia terus berdiam diri dan tahu-tahu saja baru-baru ini dia umumkan di media sosial akan buat projek itu dengan pihak lain di luar pengetahuan saya,” katanya.

Selain kos wang dan masa, Ahmad Idham bertindak untuk mendedahkan hal itu kerana tidak mahu reputasinya tercalar dan didakwa penipu di mata pengikut dan penaja apabila Pekin mengumumkan bakal meneruskan projek berkenaan dengan pihak lain.

Ahmad Idham berkata, perkara yang lebih dikesalkan apabila tindakan aktor itu membatalkan perjanjian mereka tanpa berkomunikasi langsung dengannya.

“Sikap yang dia tunjukkan itu dengan membawa projek itu kepada pihak lain tanpa langsung bercakap atau menjelaskan kepada saya adalah tidak beradab dan mencerminkan tahap intelektual dalam fikirannya yang rendah.

“Populariti yang dia miliki takkan bernilai kalau tidak seiring dengan tahap pemikiran dan sikap yang beretika. Saya pelik apabila dia boleh buat selamba seolah-olah tak ada apa berlaku bila dia umum kononnya akan memulakan projek itu dengan pihak lain,” katanya.

Tegasnya, dia mendedahkan perkara itu bukan kerana dia mengharap atau terdesak menghasilkan filem itu.

“Kita pun tahu keadaan industri filem sekarang tengah teruk. Malah, ketika kami berbincang mengenai idea itu pun saya ada nasihatkan jangan gelojoh untuk buat filem sekarang dan kita kena tengok trend dulu.

“Rupa-rupanya dalam diam dia teruskan juga idea itu dengan pihak lain. Bukan saya mengharap pun dengan idea itu sebab ada banyak lagi idea lain boleh dibuat, tapi cara dan adabnya itu saya tak boleh terima,” katanya.

Sementara itu, Pekin yang dihubungi pula memilih untuk tidak mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 10:34 AM