Ranau: Bimbang laluan sedia ada berbahaya kepada pendaki, kerajaan negeri mengambil keputusan menghentikan sementara sebarang aktiviti pendakian di Gunung Kinabalu selama tiga minggu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, penutupan itu berkuat kuasa serta merta bagi membolehkan pihak berkaitan melakukan pemeriksaan.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira pelbagai faktor susulan gegaran kuat akibat gempa bumi yang berpusat di Kundasang jam 7.15 pagi semalam (kelmarin).

“Kejadian gempa bumi ini menyebabkan laluan pendakian di Gunung Kinabalu sangat berbahaya untuk dilalui,” katanya, semalam.

Masidi berkata, pihaknya juga mengenalpasti kerosakan berlaku membabitkan kemudahan dan lokasi penginapan di kawasan itu.

“Semua kesan dikenal pasti boleh mendatangkan bahaya kepada pendaki.

“Kita akan membuat siasatan dan tinjauan terhadap kerosakan sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.

Menurutnya, penutupan sementara itu bagaimana hanya membabitkan aktiviti pendakian manakala kawasan pelancongan lain yang terdapat di Taman Kinabalu masih dibuka.

“Buat masa ini, tumpuan kita adalah untuk operasi mencari dan menyelamat bagi mengesan mangsa yang terperangkap di Gunung Kinabalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Jun 2015 @ 5:27 AM