ANTARA papan tanda penunjuk keselamatan baru untuk meningkatkan kesedaran di laluan ke puncak Gunung Kinabalu.
ANTARA papan tanda penunjuk keselamatan baru untuk meningkatkan kesedaran di laluan ke puncak Gunung Kinabalu.

Ranau: Seramai 135 pendaki termasuk 55 pelancong dari dalam dan luar negara memulakan pendakian pertama ke puncak Gunung Kinabalu, semalam, selepas ditutup hampir enam bulan susulan gempa bumi yang mengorbankan 28 nyawa pendaki dan malim gunung pada 5 Jun lalu.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri gembira apabila gunung ikonik negara akhirnya dibuka kepada umum yang kini boleh dilalui sehingga ke puncak.

“Laluan sehingga ke puncak sudah diperbaiki dan disiapkan dalam tempoh kurang enam bulan.

“Kos memperbaiki dan membina semula laluan baru serta rosak kini dianggarkan hampir RM400,000,” katanya ketika melepaskan peserta pendakian pertama ke puncak Gunung Kinabalu, Kundansang, di sini, semalam.

Hadir sama Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS), Dr Jamili Nais, Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah dan Pendaki Solo Gunung Everest Negara, C Ravi.

Masidi berkata, tempat perhentian pendaki di Gunung Kinabalu juga ditukar ke lokasi lain dengan pemandangan baru lebih indah dan menarik.

“Lokasi perhentian pada ketinggian 3,658 meter ini dikenali sebagai Panalaban, bukan lagi Panar Laban atau Laban Rata,” katanya.

Terdahulu, pihaknya menjangka beberapa laluan ke puncak akan mengalami perubahan kerana laluan sedia ada tidak boleh digunakan dan perlu dialihkan untuk tujuan keselamatan.

“Ada sebahagian laluan dipenuhi kesan runtuhan batu dan tidak boleh digunakan lagi.

“Apabila kerja pembaikan di lokasi pendakian ke puncak selesai, laluan mendaki Gunung Kinabalu kini lebih mencabar,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kadar bayaran kepada malim gunung dan porter dinaikkan, selain turut diberi perlindungan insuran sepenuhnya termasuk insuran nyawa.

“Bayaran RM230 sehala dikenakan kepada pendaki yang memerlukan perkhidmatan malim gunung berbanding RM150 sebelum ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:30 AM