SERAMAI 15 Pati ditahan di Pengerang, Kota Tinggi atas kesalahan termasuk membuka premis perniagaan tanpa lesen dan kebenaran. FOTO Ihsan JIM
SERAMAI 15 Pati ditahan di Pengerang, Kota Tinggi atas kesalahan termasuk membuka premis perniagaan tanpa lesen dan kebenaran. FOTO Ihsan JIM
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Seramai 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan di Pengerang, Kota Tinggi, kelmarin atas kesalahan termasuk membuka premis perniagaan tanpa lesen dan kebenaran, semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir, berkata dalam operasi bersepadu pelbagai agensi itu 10 premis dikendalikan warga asing telah disita Majlis Perbandaran Pengerang (MPP) kerana pelbagai kesalahan.

Katanya, lima kompaun dan tiga notis hadir ke pejabat turut dikeluarkan kepada premis yang tidak mempamerkan sijil Perakuan Pendaftaran Perniagaan serta gagal mempamerkan papan tanda yang mengandungi nama dan nombor perniagaan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

"Dalam operasi bersepadu hasil aduan awam di Pengerang kelmarin, sebanyak 15 premis dan 38 warga asing serta tempatan telah diperiksa.

"Seramai 15 PATI ditahan membabitkan lapan warga Bangladesh; lima (Indonesia); Pakistan (seorang) dan India (seorang).

"Mereka yang ditahan berusia antara 20 hingga 43 tahun atas pelbagai kesalahan terutama Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan peraturan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Baharuddin berkata, 14 PATI turut ditahan dalam Ops Bersama yang diadakan di Plaza Tol Skudai arah Selatan, petang kelmarin.

Katanya, ia hasil pemeriksaan terhadap 73 warga asing yang menaiki pengangkutan awam dan persendirian memasuki lebuh raya berkenaan.

"Hasil pemeriksaan itu, 14 PATI membabitkan enam warga Indonesia, lndia (lima), Bangladesh (dua) dan Pakistan (seorang) yang berusia antara 23 hingga 50 tahun, ditahan.

"Kesemua mereka melakukan kesalahan tidak memiliki sebarang pas atau permit untuk berada di Malaysia selain tinggal lebih masa.

"Semua tahan yang ditahan dalam operasi bersepadu dan Ops Bersama itu kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, di sini, untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya.

Baharuddin berkata, JIM dan semua jabatan penguatkuasa lain di negeri ini akan terus meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan isu kebanjiran PATI di Johor dapat ditangani.

"PATI yang berada di Johor dinasihatkan menyertai Program Repatriasi Migran yang berkuatkuasa mulai hari ini hingga 31 Disember 2024, bagi dihantar pulang ke negara masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2024 @ 10:37 AM