HABIB Omar Al Gailani dari Arab Saudi antara ulama besar dunia yang hadir Muktamar ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Sedunia, semalam.
HABIB Omar Al Gailani dari Arab Saudi antara ulama besar dunia yang hadir Muktamar ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah Sedunia, semalam.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan agensi lain seliaan Jabatan Perdana Menteri (JPM) komited dan istiqamah untuk terus memelihara manhaj (prinsip pegangan) Ahli Sunnah Wal Jama’ah sebagai panduan umat Islam di negara ini.

Itu pendirian dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom ketika berucap pada majlis perasmian Muktamar Ulama Ahli Sunnah Wal Jama’ah Sedunia anjuran Yayasan Perdana Ummah di sini semalam.

Beliau berkata, manhaj Ahli Sunnah Wal Jama’ah adalah adil; harmoni; aman dan sederhana sebagaimana ajaran Rasulullah yang sebenarnya justeru, ia harus diperkasa dan diperkuatkan khususnya di bumi Malaysia dan dunia amnya.

Menurutnya, semua sedia maklum bahawa asas utama yang menjadi panduan umat Islam adalah al-Quran dan hadis, justeru sesiapa yang berpegang kepada kedua-dua asas ini nescaya tidak akan sesat selamanya.

“Kekeliruan dan salah tanggapan yang wujud hari ini adalah kerana kurangnya ilmu masyarakat terhadap ilmu Islam dan kurangnya kebergantungan masyarakat terhadap al-Quran dan hadis.

“Justeru, usaha Yayasan Perdana Ummah menganjurkan muktamar ini tepat kerana ia bukan sahaja membawa ramai ulama terkemuka dunia yang pakar dalam bidang pelbagai ilmu Islam ke negara ini sebaliknya membantu mengubah kekeliruan dan salah tanggapan berkenaan,” katanya.

Katanya, beliau difahamkan terdapat 10 topik yang akan dibincangkan dalam muktamar selama tiga hari berakhir esok (Jumaat) termasuk berkaitan intipati persoalan masyarakat.

Jamil Khir berkata, elemen modenisasi dan globalisasi membuka banyak ruang ancaman terhadap akidah umat Islam hari ini dan bukan lagi bersifat tradisionalisme sebaliknya mengancam sudut pemikiran berteraskan logik akal manusia.

Menurutnya, Malaysia tidak terlepas daripada ancaman berkenaan kerana umat Islam di negara ini terdedah dengan isu penggunaan kalimah Allah S.W.T; penghinaan terhadap agama Islam; kes murtad; isu transgender; feminisme; pluralisme; liberalisme; quranisme dan anti hadis.

“Kesemua ancaman itu membuktikan betapa kroniknya salah tafsiran terhadap Islam dan umat Islam amnya,” katanya.

Muktamar berkenaan bermula semalam dan berakhir esok dengan kemuncak program adalah penganjuran Maulid Akbar Selawat Perdana 2015 di Dataran Putra pada malam Jumaat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 10:45 AM