Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah usaha meningkatkan kefahaman mengenai akidah Ahli Sunah Wal Jamaah (ASWJ) penting untuk memastikan keharmonian ummah terjamin selain untuk melengkapkan ummah dengan fahaman yang jelas supaya lebih bersedia menghadapi ancaman kemunculan ajaran sesat dan aliran pemikiran janggal.

Baginda bertitah, ancaman ke atas pegangan ASWJ, hari ini dilakukan secara terang oleh musuh Islam selain secara terselindung melalui gerakan batiniah (kebatinan) tertentu serta tindak-tanduk individu yang mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya.

"Hari ini ancaman ke atas pegangan ASWJ dilakukan secara terang oleh musuh Islam dan secara terselindung melalui gerakan batiniah tertentu dan tindak-tanduk individu yang mempamerkan diri mereka sebagai ulama, ustaz, tuan guru dan seumpamanya.

"Namun pada hakikatnya, mereka membawa ajaran yang menyeleweng dan tafsiran yang menyimpang daripada landasan Islam sebenar. Oleh itu ummah wajib berganding bahu memastikan pegangan ahli Sunnah Wal Jemaah dilindungi, dipelihara, difahami dan dihayati," titah baginda ketika majlis perasmian Muzakarah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Hotel Casuarina, Meru Raya, di sini hari ini.

Turut berkenan berangkat ke majlis yang membincangkan topik "Memperkasa Ahli Sunah Wal Jamaah sebagai Firqah Najiah" itu adalah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim; Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Idris Shah; dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Abdul Halim Shah.

Turut hadir Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah mewakili Menteri Besar dan Mufti Perak Datuk Wan Zahidi Wan Teh.

Majlis sama turut menyaksikan Sultan Nazrin berkenan melancarkan dua buku karya tulisan Wan Zahidi iaitu buku berjudul 'Jaringan Islam Liberal dan Agenda Pemurtadan Ummah' dan buku 'Mengenal Kesesatan Syiah'.

Titah Sultan Nazrin lagi, pegangan ASWJ yang menjadi pegangan utama umat Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia menerusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan (MFK) Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang pada 5 Mei 1996, tidak dengan mudah mengkafirkan sesama Muslim.

"Di Malaysia, MFK membuat ketetapan bahawa umat Islam negara ini dikehendaki mengikut ajaran Islam berpaksikan ASWJ daripada segi akidah, syariah, dan akhlak; mentafsirkan hukum-hakam Islam berdasarkan sumber perundangan utama iaitu al-Quran, hadis, ijmak, dan qiyas; dan tidak dengan mudah mengkufurkan sesama Muslim.

"Akidah ASWJ disifatkan sebagai ajaran yang betul, lurus, selamat, jelas dan tiada kekeliruan di dalamnya. Pegangan ini merupakan warisan jati diri umat Islam di negara ini sejak agama Islam mula bertapak di Tanah Melayu," titah baginda.

Titah baginda lagi, sepanjang sejarah manhaj ASWJ pendekatannya yang bersifat pertengahan dan seimbang, serta tidak bersifat keterlaluan atau ekstrim dengan menerima pendekatan nas dan akal dengan meletakkan nas mengatasi akal.

"ASWJ berpegang bahawa manusia dituntut berusaha dan berikhtiar, tetapi memahami bahawa Allah SWT yang menentukan hasil kejayaan dan pencapaian. Dalam amalan ASWJ akal diberikan ruang untuk berfikir dan membuat tafsiran malah takwilan yang tidak jauh dengan tuntutan nas, dan bukannya membuat tafsiran secara literal yang menampakkan Islam sebagai agama yang kaku dan tidak realistik," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Oktober 2023 @ 1:41 PM
Titah ucapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan pada Majlis Muzakarah Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina Meru Raya Ipoh. FOTO L.MANIMARAN
Titah ucapan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenaan pada Majlis Muzakarah Peringkat Negeri Perak di Hotel Casuarina Meru Raya Ipoh. FOTO L.MANIMARAN