ORANG tawaduk tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi daripada orang lain dalam pergaulan seharian.
ORANG tawaduk tidak pernah menganggap dirinya lebih tinggi daripada orang lain dalam pergaulan seharian.
Abd Rahman Tajuddin

Dewasa ini muncul kelompok 'golongan muda' yang cetek ilmunya cuba mengkritik ulama besar yang memberi sumbangan keilmuan di Nusantara.

Tuduhan kepada Sheikh Ibrahim Al-Kurani sebagai pengajar ilmu khurafat dan mengajar kebatinan yang salah merupakan fitnah besar yang mengundang keburukan.

Hal ini disebabkan golongan ini gagal memahami konsep khurafat sehingga menuduh para ulama sebagai pelaku khurafat. Mereka gagal memahami konsep 'syariat-hakikat' sehingga membakul sampahkan ajaran tasawuf tulin dengan tuduhan batiniyyah yang sebenarnya berbeza dengan apa yang mereka fahami.

Maka kupasan latar sejarah tentang tokoh ini perlu dilakukan sebagai jawapan kepada golongan tersebut bahawa Sheikh Ibrahim Al-Kurani merupakan ulama Ahli Sunnah Wal Jama'ah yang mengadun ilmu kalam - ilmu syariat - ilmu tasawuf ke dalam model terbaik sehingga menjadi 'guru besar' kepada ulama Nusantara selepasnya.

Sesungguhnya Sheikh Ibrahim Al-Kurani merupakan ulama besar yang memiliki keilmuan yang bersanad daripada ulama muktabar sebelumnya. Nama penuh beliau adalah Burhan al-Din Ibrahim ibn Hassan ibn Shihab al-Din al-Kurani al-Madani. Beliau lahir di kampung Shahrani, Shahzuri, Kurdistan.

Beliau lahir pada tahun 1023 H (1615M) dan wafat 1101H (1690M) merupakan mutakallimun intelektual dan mursyid tariqah.

Beliau mendalami pelbagai ilmu antaranya ilmu kalam dalam memperteguh akidah, ilmu fiqah dalam pengamalan syariat serta ilmu tasawuf dalam memahami hakikat ihsan. Beliau telah menjelajah ke pelbagai kota ilmu iaitu Turki, Parsi, Iraq, Syria, Mesir dan Madinah.

Beliau mengamalkan Tariqat Qadiriyyah ketika di Baghdad. Beliau mendalami ilmu tasawuf Abdul Qadir Al-Jilani ketika di Baghdad yang merupakan tempat ajaran Imam Al-Ghazali disebarkan.

Malah beliau mempelajari ajaran esoterik ilmuan terkenal Sheikh Al-Akbar Ibn 'Arabi. Pengajaran tasawuf Ibn 'Arabi ini didapati daripada Sheikh Muhammad Al-Amiri selama empat tahun ketika di Damsyik. 

Maka keilmuan Imam Al-Ghazali, Al-Jailani dan Ibn 'Arabi terangkum dan termanifestasi dalam pemikiran Sheikh Ibrahim Al-Kurani. Ini menunjukkan beliau mengikuti jalur pemikiran Ahli Sunnah Wal Jama'ah dalam tasawuf.

Beliau juga sempat berada di Mesir mempelajari ilmu tafsir dan hadis di Universiti Al-Azhar.

Malah beliau juga belajar ilmu fikah (syariat) daripada Sheikh Al-Qushashi daripada Sheikh As-Sinwani seterusnya daripada Imam Shamsudin Ar Romli sampai kepada Imam Zakaria Ansori. Sanad keilmuan ini menunjukkan beliau belajar daripada tokoh Ahli Sunnah Wal Jama'ah yang bermazhab Syafi'e.

Pembelajaran hadis beliau terutama dalam Kutubus Sittah juga diambil daripada Sheikh Alauddin Al-Babli, Shihabudin Al-Masri dan Sultan Ahmad Al-Azhari. Ini menunjukkan bahawa beliau mementingkan dan hadis nabi dalam mengeluarkan hukum-hakam. Sangat paradoks apabila beliau dituduh sebagai batiniyyah.

Beliau juga merupakan Khalifah Syatariah yang diambil daripada Al-Qushashi. Jalur ini membuktikan tariqatnya berlandaskan landasan Imam Al-Ghazali. Ini membatalkan tuduhan bahawa beliau mengajar khurafat sesat. Hakikatnya ajaran beliau penuh dengan ajaran pembersihan rohani dan penerapan nilai akhlak. Beliau juga pernah ke Madinah menuntut ilmu di bawah penyeliaan Al-Qushashi.  

Keilmuan beliau mempengaruhi Nusantara sehingga menuangkan nilai keilmuan kepada tokoh ilmuan Abdul Rauf Singkel dan Yusuf Al-Makassari. Abdul Rauf Singkel merupakan mufti Ahli Sunnah Wal Jama'ah di Acheh. Ini menunjukkan guru Abdul Rauf As-Singkel iaitu Sheikh Ibrahim Al-Kurani juga ilmuan Ahli Sunnah Wal Jama'ah.

Beliau telah mengupas tentang Tuhfat Al-Mursalah karangan Al-Burhanpuri dalam tajuk Ithafu Dhaki dalam hal wahdatul wujud serta martabat tujuh. 

Kitab Tuhfat diadaptasi sehingga mempengaruhi pemikiran Hamzah Fansuri dan Samsuddin Sumatrani. Kupasan beliau membuktikan bahawa kewujudan yang hakiki hanya Allah SWT, adapun kewujudan makhluk adalah sementara serta maya yang bergantung kepada Wajib Al-Wujud. 

Kupasan ini menunjukkan bahawa beliau berpegang kepada tauhid sejati. Muqadimah kitab beliau sahaja penuh dengan ketauhidan Allah SWT. Ini membatalkan tuduhan fitnah daripada Sufaha' Al-Ahlam yang kononnya beliau mengajar ilmu khurafat batiniyyah. 

Malah kitab beliau berkenaan Al-Jawabat Al-Gharawiyyah Lil Masail Al-Jawiyah Al-Johriyyah telah menjawab persoalan besar di nusantara berkenaan wahdatul wujud. (Ginanjar Sya'ban : 2016)

Kitab Kasf Al-Muntazir Lima Muhtayar Muhtadhir dan Al-Maslak Al-Jali Fi Jukm Syatah Al-Wali juga menjawab tuntas berkenaan Syatahat Wali. Buku tersebut menjawab persoalan martabat tujuh dengan dalil al-Quran dan Sunah berkenaan pengalaman ahli tasawuf.

Ibrahim Al-Kurani meneruskan pengajaran Ibn 'Arabi dan Al-Jili dalam mencapai status insan al-kamil. Mungkin disebabkan inilah golongan mentah itu memfitnah Al-Kurani.

Sesungguhnya Al-Kurani telah mengadunkan antara kalam, syariat dan sufi secara bersepadu. Kesepaduan ini adalah unsur ketauhidan yang menyatakan segala-galanya berasal daripada Wajib Al-Wujud iaitu Allah.

Beliau adalah mahaguru ulama Nusantara dan Mujaddid Islam abad ke-11H. Al-Kattani, seorang ilmuan hadis terkenal telah meletakkan beliau sebagai mujaddid ummah prolifik. 

Al-Kattani telah mengiktiraf beliau sebagai guru besar sehingga mampu membangkitkan tasawuf daripada landskap Sunni. Mustahil seorang mujaddid ummah abad ke-11H mengajar ajaran khurafat dan batiniyyah. Beliau diiktiraf oleh ilmuwan besar yang lain yang mempunyai kredibiliti dan autoriti ilmu.

Malah beliau digelar iIlmuwan besar yang memiliki intelektual dan spiritual matang pada kurun ke-17 M seperti di dalam kitab 'Aunul Ma'bud Sharh bagi Sunan Abi Dawud karangan al-Muhaddith Abu Tayyib Muhammad Shamsul Haqq al-Azim Abadi. Ini menunjukkan ahli hadis juga mengiktiraf beliau.

Dalam kitab tersebut juga dinyatakan beliau sebaris dengan Syeikhul Islam Zakaria Al-Ansari Mujaddid abad ke-15,   Imam Ar-Ramli pada abad ke-16, Sheikh Murtadha Al-Zabidi pada abad ke-18. Pengiktirafan beliau sebagai mujaddid dilakukan oleh ulama-ulama besar yang tahqiq dalam keilmuwan. Bukan seperti Sufaha' Al-Ahlam yang gagal memahami teks karya beliau yang penuh dengan bahasa tinggi yang tidak dicapai oleh akal mereka.

Karya beliau mencapai 80 buah buku meliputi pelbagai bidang keilmuan. Tulisan beliau telah mempengaruhi ulama selepasnya kerana daya tarikan pemikirannya yang kuat. Penulisannya terus dikaji dan melahirkan ulama lain yang berwibawa. Ini menunjukkan Sheikh Ibrahim Al-Kurani merupakan sebuah gunung utuh yang didaki oleh pencinta ilmu untuk menggapai ilmu beliau. Gunung tidak akan runtuh hanya dengan salakan anjing kehausan popular.

Secara akademik, akidah beliau adalah Al-Asya'irah, bermazhab As-Syafi'e serta bertariqat Naqsyabandi dan Syatariyyah. 

Menurut pengkaji ilmu yang mempunyai kredibiliti antaranya Azra dan Oman Fathurahman menyatakan bahawa beliau adalah 'Bapa Ilmu Islam' di Nusantara. 

Hampir keseluruhahan kitab pada zamannya dan selepasnya yang membincangkan Al-Kurani menyatakan beliau 'alim besar' hingga digelar Ghazali Besar.

Al-Azhimabadi seorang ulama India juga mengukuhkan lagi bahawa beliau adalah mujaddid Islam yang sangat prolifik. 

Sejarawan Al-Hamawi menyatakan majlis ilmu beliau bagai 'taman syurga' dihadiri penuntut ilmu dari pelbagai kota.

Malah sejarawan intelelektual yang menghabiskan masa hidupnya untuk kajian sejarah, Al-Muradi yang hidup sezaman Al-Kurani   menyatakan bahawa beliau 'gunung raksasa' di antara pergunungan ilmu dan juga 'samudera ilmu irfan hakikat'.

Hampir keseluruhan ilmuwan Islam di Nusantara juga mempunyai jalur daripada beliau. Malah Abah Anom yang merupakan sheikh tariqat juga mewarisi keilmuwan Al-Kurani.

Abdul Rauf Singkel (m.1693) penulis pertama terjemahan al-Quran dalam Bahasa Jawi iaitu Turjuman Mustafid. Mufti kesultanan Acheh penulis pertama Mazhab Syafie pertama terlengkap iaitu Mir'atul Tullab juga murid Al-Kurani. Demikian Yusuf Makassari (m. 1699) juga murid beliau. Jikalau Al-Kurani yang merupakan 'guru besar' kepada Abdul Rauf Singkel ini sesat dan dituduh pengajar batiniyyah dan khurafat, maka rantai Melayu ini jadi khurafat. Hakikatnya legasi keilmuwan Al-Kurani yang dibawa oleh ulama Nusantara membangunkan tamadun Kesultanan Melayu Acheh di Nusantara.

Tuduhan khurafat daripada pemikiran zahiriyyah golongan muda terhadap Sheikh Ibrahim Al-Kurani adalah biadab dan melampau. Yang melontarkan tuduhan itu perlu bertaubat kerana melakukan fitnah besar.

Penulis Fellow Counter Narrative Centre for Countering Violent Extremism (CONCAVE), Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI) dan Ilmuwan Ahli Sunnah Wal Jama'ah Malaysia (ISLAMI)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Februari 2022 @ 5:59 AM