Oleh Siti Sofia Md Nasir

Georgetown: Dua beranak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan menampar dan meludah anggota polis pada 15 April lalu.

Shaikh Abdul Shukor Shaikh Abdul Wahab, 31, dan bapanya, Shaikh Abdul Wahab Shaikh Ibrahim, 67, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret L Umma Devi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kekerasan terhadap anggota polis trafik, Koperal Mohamed Shahrul Nizam Mohamed Salleh yang sedang menjalankan kewajipannya sebagai penjawat awam di Jalan Patani, di sini pada jam 9.50 malam 15 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin masing-masing RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 19 Mei hadapan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Noor Farhana Hashim manakala tertuduh diwakili Muhammad Asri Abdul Hamid.

Akhbar sebelum ini melaporkan dua beranak ditahan selepas menampar dan meludah anggota polis trafik yang menyaman kenderaan mereka di Jalan Patani, di sini.

Kejadian itu berlaku apabila anggota polis trafik daerah itu menahan kereta yang dinaiki dua beranak terbabit selepas pemandunya dikesan tidak memakai tali pinggang keledar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 April 2015 @ 5:21 AM