ANGGOTA polis membawa  empat lelaki  keluar dari  Mahkamah Majistret Georgetown, semalam.
ANGGOTA polis membawa empat lelaki keluar dari Mahkamah Majistret Georgetown, semalam.

Georgetown: Empat lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, semalam terhadap tuduhan melakukan rusuhan terhadap penyokong bola sepak Kedah, minggu lalu.

Bagaimanapun, semua tertuduh, Ruzairi Abdul Rahman, 31, yang bekerja sebagai pembantu hospital, Muhammad Fizry Shukor, 21, pelajar, Samsuri Aman Rusli Aman, 35, pekerja swasta dan Muhammad Hafiz Bin Abdullah, 24, peniaga mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadap mereka dibacakan serentak di hadapan Majistret L Umma Devi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama beberapa orang lagi yang masih bebas didakwa merusuh terhadap penyokong pasukan Kedah di Stadium Bandaraya dan Jalan Datuk Keramat, di sini, jam 11.30 malam, 26 Julai lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Umma Devi membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM2,300 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Azura Zulkiflee manakala Ruzairi, Shamsuri dan Muhammad Hafiz diwakili Mohd Izad Mohd Zambri manakala R Sankra Krishna mewakili Muhammad Fizry.

Pada 27 Julai lalu, polis menahan enam lelaki yang juga penyokong pasukan bola sepak Pulau Pinang selepas terbabit dalam kes baling batu ke arah bas persiaran membawa 40 penyokong Kedah di hadapan pintu masuk Stadium Bandaraya dan Jalan Dato Keramat, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2016 @ 7:40 AM