Melaka: Seorang pekerja am dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, semalam selepas mengaku bersalah mencuri sebuah kereta empat tahun lalu.

Tertuduh Mohd Tahir Basir @ Nasir, 35, dari Durian Tunggal, di sini, membuat pengakuan bersalah itu di hadapan Majistret Norina Maludin selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sebuah kereta Honda Accord milik Nor Madi Md Nor, 43, sekitar jam 10 malam hingga 11.40 malam pada 15 Februari 2011 di luar pagar rumah di Taman Merdeka, di sini, menyebabkan mangsa kerugian RM25,000.

Justeru, Nor Madi disabit melakukan kesalahan mengikut Seksyen 379A, Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.

Mengikut fakta kes, mangsa mendapati kereta Honda Accord miliknya yang diletak di luar pagar rumah dalam keadaan berkunci antara jam 10 malam hingga 11.40 malam, pada 15 Februari 2011 hilang.

Kereta itu bagaimanapun ditemui pada keesokannya berhampiran sebuah rumah di Taman Paya Rumput Indah selepas seorang wanita yang curiga dengan kehadiran kereta itu membuat laporan polis.

Hasil siasatan, polis berjaya menahan tertuduh di sebuah kawasan di Jalan Laksamana Cheng Ho, di sini, pada 8 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 7:59 AM