Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh bekas ahli perniagaan berusia 63 tahun di Amarin Kiara, 12 Julai lalu.

Pertuduhan dibacakan terhadap S Hariadasan, 28 dan G Sathorohgunosing, 32 dihadapan Majistret Wang Chai Sia.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki berkenaan bersama seorang lagi yang masih bebas antara jam 11.40 malam hingga 11.50 malam menembak mati mangsa di tempat letak kereta berhampiran pondok pengawal Amarin Kiara, Sri Hartamas.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 29 September depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Kassim berkata, selain dua lelaki yang dituduh hari ini, Polis Kuala Lumpur akan menuduh seorang lagi lelaki berusia 40-an yang dipercayai merancang pembunuhan itu.

Pada 12 Julai lalu, seorang bekas ahli perniagaan berusia 63 tahun ditembak mati selepas pulang bermain mahjong dari rumah rakannya di Amarin Kiara, di sini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Julai 2022 @ 2:31 PM
ANGGOTA polis mengiringi dua tertuduh ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan membunuh bekas ahli perniagaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
ANGGOTA polis mengiringi dua tertuduh ke mahkamah bagi menghadapi tuduhan membunuh bekas ahli perniagaan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM