Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Dua sahabat dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, tadi, atas pertuduhan melakukan pecah rumah dan curi awal bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Adib Kasim, 32, dan Fais Yusoff, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan pecah rumah milik Mohd Hamizzuri Huri, 48, dan mencuri cincin kahwin lelaki (platinum), gelang emas, rantai emas, jam tangan pelbagai jenama anggaran nilai RM5,000.

Selain itu, turut dilarikan enam beg tangan pelbagai jenama anggaran RM8,000, satu beg sandang berisi wang campuran luar negara anggaran RM2,000, tiga kunci motosikal bersama cukai jalan dan minyak wangi anggaran RM700.

Tertuduh turut didakwa mencuri alat kawalan jauh pintu pagar, polisi insurans kereta Toyota Harier, dompet mengandungi kad bank, kad insurans, lesen memandu isteri pengadu, dua komputer riba, dua unit telefon, tablet, serangkai kunci kereta dan kunci rumah anggaran nilai keseluruhan kira-kira RM2,000 dan Toyota Harrier.

Mohd Adib (baju putih) dan Fais Yusoff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas pertuduhan melakukan pecah rumah dan mencuri awal bulan lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Mohd Adib (baju putih) dan Fais Yusoff mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, atas pertuduhan melakukan pecah rumah dan mencuri awal bulan lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di rumah mangsa di No 20 Jalan M5 Taman Merak, di sini, kira-kira jam 8.15 malam, 3 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda, dan jika kesalahan yang hendak dilakukan adalah mencuri, boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dikenakan denda dan sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri manakala tertuduh diwakili peguam Amrit Singh.

Terdahulu, Fiqri Hakim tidak menawarkan jaminan terhadap kedua-dua tertuduh namun peguam merayu ia dibenarkan.

Kes ditetapkan untuk sebutan lantikan peguam pada 19 Mei depan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 4:22 PM