Zamzuri (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada Siti Aminah (berkerusi roda) di rumah mereka di Bagan Dalam, semalam.
Zamzuri (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada Siti Aminah (berkerusi roda) di rumah mereka di Bagan Dalam, semalam.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin dan Wan Azrin Syahirah Mior Zulkifli

Butterworth: “Syukur saya sekeluarga dapat berjimat cermat untuk beberapa bulan ini, sejak dua minggu lalu rezeki kami tidak putus kerana pasti ada pihak bersimpati datang menghulurkan bantuan,” kata Siti Aminah Jamalludin, 24, wanita orang kurang upaya (OKU) mencari rezeki dengan mengambil upah mengisi dakwat pen menggunakan mulut.

Katanya, semenjak kisahnya disiarkan Harian Metro pada 14 Februari lalu, pelbagai pihak tampil menghulurkan bantuan dalam bentuk barangan keperluan harian dan wang tunai.

Siti Aminah berkata, dia dan suami Mohamad Sofi Osman, 28, bercadang berpindah ke rumah baru yang lebih selesa dan berharap ada pihak dapat membantu untuk memudahkan urusan itu.

“Jumlah pendapatan bulanan hasil gaji suami dan kerja sambilan kami berdua lakukan sudah cukup untuk menampung bayaran sewa rumah. Suami bersetuju untuk berpindah kerana mahu melihat anak tinggal di kediaman lebih selesa.

“Namun kami berharap kediaman itu terletak berhampiran dengan tempat kerja suami dan rumah keluarganya kerana selain menjaga saya dia juga perlu melihat keadaan ibu dan neneknya yang kini sudah berusia,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Bagan Dalam di sini, semalam.

Semalam, wanita gigih itu dikunjungi kakitangan Pasaraya Besar Econsave Cash & Carry Sdn Bhd yang turut menghulurkan barangan keperluan harian berjumlah RM1,000.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 10:18 AM