Zaitol menyampaikan sumbangan segera kepada Mohamad Sofi, disaksikan  Siti Aminah dan sukarelawan.
Zaitol menyampaikan sumbangan segera kepada Mohamad Sofi, disaksikan Siti Aminah dan sukarelawan.
Oleh Muhammad Shalaby Shahbuddin

Butterworth: Kegembiraan jelas terpancar pada riak wajah orang kurang upaya (OKU) Siti Aminah Jamalluddin, 24, semalam, apabila disahkan akan menerima bantuan elaun pekerja cacat (EPC) sebanyak RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang berkuatkuasa bulan ini.

Siti Aminah mengakui bersyukur dan berterima kasih kepada JKM yang prihatin dan mengambil berat menyalurkan bantuan bulanan itu.

“Alhamdulillah, saya terharu atas keprihatinan JKM dan bantuan bulanan ini sudah pasti sedikit-sebanyak meringankan beban ditanggung suami.

“Walaupun menerima elaun EPC ini, saya akan terus gigih melakukan kerja sambilan di rumah dan akan meningkatkan perniagaan barangan runcit secara kecil-kecilan yang dilakukan sejak hampir sebulan lalu,” katanya.

Semalam, selain diumumkan layak menerima EPC, Siti Aminah turut menerima bantuan segera wang tunai, kerusi roda baru serta pelbagai barangan keperluan seperti periuk nasi elektrik, selimut, tikar dan cadar daripada Pengarah JKM Pulau Pinang Zaitol Salleh.

Selain itu, program gotong-royong diadakan di rumah Siti Aminah di Bagan Dalam, di sini, yang membabitkan 50 sukarelawan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Seberang Perai Utara (SPU), JKM Pulau Pinang, Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia, Sukarelawan Kebajikan Daerah SPU dan empat pelatih Perintah Khidmat Masyarakat.

Pertubuhan Prihatin OKU 1Malaysia turut menyumbangkan barangan keperluan dapur seperti beras, susu, tepung, gula dan barangan kebersihan diri selain membeli pakaian baru kepada anak tunggal Siti Aminah iaitu Muhammad Nuralif Irfan, 2.

Sebelum ini, Siti Aminah turut menerima bantuan RM300 sebulan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Selain mengambil upah mengisi dakwat ke dalam pen, Siti Aminah turut mengambil upah memasang rantai kunci dengan kadar upah RM7 untuk setiap 1,000 set dan ia lebih sukar kerana terpaksa bergantung kepada tangan kirinya bagi menyusun dan mengacip gegelang besi pada rantai kunci berkenaan.

Bagi menambah pendapatan dan tidak semata-mata bergantung kepada suami, Mohamad Sofi Osman, 28, yang bekerja sebagai mekanik di sebuah bengkel motosikal dengan gaji RM35 sehari, dia berniaga barang runcit secara kecil-kecilan sejak hampir sebulan lalu.

Antara produk dijual wanita gigih itu barang keperluan harian seperti mi segera, garam, perencah segera dan telur yang dibeli dari sebuah pusat jualan borong di Butterworth dengan modal RM150.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:24 AM