Kuala Kurau: Dua nelayan yang dilaporkan hilang dalam kejadian bot karam akibat dipukul ombak dan ribut di perairan berhampiran Rumah Api Kuala Gula, di sini, ditemui lemas pagi semalam.

Mayat kedua-dua lelaki itu dijumpai terapung serta tersangkut pada sangkar ikan tiga batu nautika (lima kilometer) dari lokasi mereka dilaporkan hilang.

Ketua Operasi Leftenan Maritim Pengkalan Kuala Kurau, Mohammad Hussaini Ishak berkata, mangsa pertama dijumpai adalah Muhammad Farid Hussin, 35, yang berasal dari Kuala Gula ditemui tersangkut di sangkar ikan oleh seorang pekerja sangkar jam 6.50 pagi.

Menurutnya, sejurus mayat pertama ditemui, pihaknya bersama pasukan bomba serta dibantu nelayan tempatan bertindak memperluaskan kawasan mencari seorang lagi mangsa yang hilang.

“Pada jam 10.15 pagi, mangsa kedua ditemui nelayan lain tersangkut pada sangkar ikan berlainan dan jarak mangsa kedua ditemui juga lima kilometer dari lokasi dilaporkan hilang.

“Mayat pertama dibawa naik melalui jeti di sini dan identitinya disahkan kakak mangsa, Norhasikin, 36, yang membuat proses pengecaman mayat sebelum dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat.

“Mangsa kedua ditemui pula, Patahhul Karim, 27, warga Indonesia disahkan identitinya oleh rakan senegara dan mayat juga dibawa ke hospital sama,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dalam kejadian jam 7 malam kelmarin itu, tiga bot nelayan dinaiki dua nelayan tempatan dan empat warga Indonesia yang sedang menaikkan pukat di lokasi kejadian dan dipercayai karam berikutan keadaan cuaca yang buruk.

Semua nelayan dikatakan sedang menaikkan pukat, sebelum kawasan perairan itu dilanda ribut dan ombak besar hingga menyebabkan ketiga-tiga bot berkenaan terbalik dan karam.

Dalam tempoh setengah jam selepas bot mereka karam terdapat sebuah bot nelayan yang berada di kawasan berhampiran berjaya membantu menyelamatkan empat mangsa manakala dua lagi gagal dikesan.

Sementara itu, Penguasa Bomba, Mohamed Habib Mohamed Dali berkata, operasi mencari dan menyelamat dilakukan sepanjang hari semalam sehingga malam selepas mangsa, namun gagal menemui mangsa dan operasi pada hari kedua diperluaskan ke kawasan hutan bakau.

“Sebaik kedua-dua mayat dimaklumkan ditemui dan disahkan identitinya, emua agensi yang terbabit menamatkan operasi mencari dan menyelamat serta menutup bilik gerakan pada jam 11.45 pagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Februari 2015 @ 5:29 AM