PENYOKONG cuba merempuh masuk ke stadium bagi menyaksikan final antara Argentina dan Colombia.
PENYOKONG cuba merempuh masuk ke stadium bagi menyaksikan final antara Argentina dan Colombia.
AFP

Miami: Sepak mula aksi final Copa America antara Argentina dan Colombia di Miami ditangguh selama 30 minit kerana kekecohan penyokong di luar stadium, umum penganjur, hari ini.

Pemain kedua-dua pasukan kembali ke bilik persalinan selepas memanaskan badan di Stadium Hard Rock susulan penangguhan itu.

"Dimaklumkan perlawanan ditangguhkan selama 30 minit dan bermula pad 8.30 malam (waktu tempatan)," umum penganjur kejohanan di Twitter.

Penganjur menyatakan penangguhan itu kerana penonton yang tiada tiket cuba memasuki stadium.

"Penyokong yang tiada tiket tidak boleh masuk ke stadium. Hanya yang memiliki tiket dibenarkan masuk ke stadium apabila pintu masuk dibuka semula."

Polis dan staf keselamatan bertempur dengan penyokong yang cuba merempuh masuk ke stadium sebelum sepak mula.

Wartawan AFP yang berada di tempat kejadian menyaksikan beberapa penyokong diberikan rawatan oleh petugas perubatan susulan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 8:09 AM