ELENA membuktikan taraf pendidikan rendah bukan penghalang untuk berjaya.
ELENA membuktikan taraf pendidikan rendah bukan penghalang untuk berjaya.
Hafiz Ithnin


"SAYA pernah makanan hanya sekali sehari. Makanan tersisa semalam itu dimakan pula untuk esoknya dan tinggal di kedai kerana ingin berjimat wang ketika memulakan perniagaan ini," kongsi wanita 37 tahun ini kepada penulis ketika ditanya cabaran yang pernah dihadapinya ketika memulakan perniagaan kedai jahitannya pada awal 2017.

Kini Elena Faizal mampu tersenyum puas kerana berkat kesabarannya terbayar apatah lagi pelanggannya terdiri daripada mereka yang berstatus tinggi di dalam masyarakat termasuk Yang di Pertua Negeri Sabah.

Lebih unik kisah tukang jahit ini ialah dia tidak mempunyai taraf pendidikan tinggi. Hanya mampu bersekolah sehingga darjah empat sahaja. Namun, itulah dikatakan apabila sentiasa berusaha pasti ada kemenangannya.

Elena berkata, pada awalnya dia bukanlah seorang yang gemar pada aktiviti menjahit dan tidak mempunyai langsung kemahiran.

Sehinggalah pada 2016, dia menyertai program jahitan pakaian wanita yang dianjurkan GiatMara di Sandakan, Sabah.

KERJAYA tukang jahit Elena yang mendapat perhatian golongan atasan.
KERJAYA tukang jahit Elena yang mendapat perhatian golongan atasan.

"Ketika itu saya perlu mengikuti bekas suami yang perlu berhijrah ke Sandakan dari Kota Kinabalu dan menyertai kursus ini hanya untuk menambah pendapatan sahaja.

"Namun, perkahwinan saya tidak bertahan lama. Pada 2017 saya berpisah dan pulang ke Kota Kinabalu. Pada masa sama saya perlu membesarkan dua anak di bandar itu. Jadi, saya nekad untuk mencari rezeki berbekalkan ilmu yang ditimba di dalam program berkenaan," katanya.

Tambahnya, ketika mengikuti kursus berkenaan dia menjadi peserta cemerlang dan mendapat geran RM8,000. Daripada wang itu dia jadikan modal untuk memulakan perniagaan.

Katanya, ketika itu dia terpaksa menolak erti suka atau tidak, usaha yang dilakukan kerana perkara paling utama ialah mendapatkan wang untuk membesarkan anak-anak.

"Sememangnya memulakan perniagaan bukan sesuatu yang mudah kerana modal saya terhad dan saya perlu mencari pelanggan. Apatah lagi persaingan amat tinggi di bandar ini.

"Saya letakkan di dalam fikiran bahawa pelanggan saya mesti dalam kalangan orang ternama bagi membina satu jenama yang baik. Jadi, usaha menjadi lebih sukar kerana saya perlu membuktikan bahawa kualiti kerja jahitan saya setanding dengan pereka fesyen terkenal yang lain," katanya.

Katanya, dia membina jaringan perniagaan dengan mendekati pelanggan dalam kalangan orang ternama di Sabah dan dalam masa sama sentiasa memastikan hasil jahitan pakaian yang ditawarkan juga berkualiti.

"Kualiti jahitan adalah perkara paling utama bagi memastikan pelanggan saya sentiasa berpuas hati dengan bayaran mereka. Kualiti kerja saya disampaikan dari mulut ke mulut sehingga saya mampu berada di tahap sekarang.

"Saya juga sentiasa bercampur dengan usahawan yang berjaya kerana untuk berjaya kita perlu bercampur dengan orang yang berjaya. Mereka ini mempunyai semangat yang tinggi untuk membantu antara satu sama lain," katanya.

Tambahnya, dia sentiasa memandang ke hadapan bagi mengembangkan perniagaannya kerana sentiasa sedar bahawa mencari wang bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Apatah lagi dia tidak mempunyai taraf pendidikan yang tinggi.

"Saya sedar bahawa pendidikan itu amat penting. Sebelum ini untuk saya mendapat pekerjaan yang baik pastinya majikan akan melihat kepada taraf pendidikan dan saya tidak mempunyainya.

"Disebabkan itu, saya melihat cara yang terbaik untuk keluar daripada belenggu kewangan adalah menerusi perniagaan dan sentiasa mempertahankannya kerana ia adalah satu-satunya aset yang saya ada untuk mendapat pendapatan," katanya.

Katanya, pengurusan kewangan juga adalah perkara paling penting kerana jika seseorang itu mendapat dana sebanyak mana sekali pun tetapi tidak bijak menguruskannya, pasti tidak akan berjaya.

"Ketika saya menjadi peserta cemerlang dan mendapat geran RM8,000 sebenarnya bukan satu nilai yang besar kerana memulakan perniagaan bukanlah sesuatu perkara yang mudah.

"Saya perlu bijak membuat pusingan modal, menguruskan aliran kewangan dan paling penting ialah menambah pelanggan. Jadi, ia memerlukan usaha dan tenaga. Apatah lagi, segala-galanya saya lakukan seorang diri sahaja di bandar ini," katanya.

Katanya, usaha dan tenaga yang dilimpahkan itu ternyata berhasil kerana kini dia mampu mempunyai bukan satu kedai menjahit tetapi dua di sebuah pusat membeli belah.

"Pelanggan saya pula dalam kalangan pemimpin masyarakat dan mereka terus memberi kepercayaan untuk saya menjahit pakaian mereka dari masa ke masa. Apabila sudah mempunyai kepercayaan pelanggan kita perlu buktikan hasil kerja yang terbaik dan jangan mensia-siakannya walaupun sudah mempunyai kedudukan yang selesa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 7:01 AM