NORIZAM (dua dari kiri) menyerahkan Bendera FESKEW kepada Dr Robert (tiga dari kanan) sebagai penganjur tahun hadapan.
NORIZAM (dua dari kiri) menyerahkan Bendera FESKEW kepada Dr Robert (tiga dari kanan) sebagai penganjur tahun hadapan.
Suliati Asri


Melaka bandaraya bersejarah menjadi saksi kepada kemeriahan Festival Kebudayaan & Warisan (FESKEW) Ke-12, 2024 yang diadakan di Politeknik Merlimau Melaka (PMM).

Ia adalah titik penemuan menakjubkan bagi pemuzik, seniman dan pencinta seni dan warisan dari politeknik serta kolej komuniti seluruh Malaysia.

Tahun ini, FESKEW dijayakan hasil kerjasama Bahagian Ambilan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti selaku penganjur.

Manakala PMM selaku pengelola meneruskan usaha dalam menyemarak aktiviti seni dan budaya berkonsepkan pertandingan mencungkil bakat unik dan kreatif.

Bertemakan Inspirasi TVET: Layarkan Seni & Budaya, Perkasa Rentak Warisan, FESKEW Ke-12 berjaya menyatukan pentas budaya seluruh Malaysia menerusi pertandingan 'Rentak Busking.'

Festival ini juga diperhebatkan lagi dengan pertaruhan hasil karya TVET 'Doodles Art' yang akan menjadi mercu tanda karya seni dan kreativiti pelajar.

Lebih membanggakan Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) dinobatkan sebagai juara keseluruhan FESKEW Ke-12 apabila menjuarai kategori Pertandingan Doodles Arts di samping memenangi Anugerah Busker Harapan bagi Kategori Irama Malaysia dalam pertandingan Rentak Busking sekali gus melayakkan mereka membawa pulang wang tunai RM 2,500 jumlah keseluruhan.

Selain itu, PMM selaku tuan rumah turut menjadi Johan Busking Terbaik bagi Pertandingan Rentak Busking.

FESKEW beri pendedahan budaya dan kesenian kepada pelajar khususnya pelajar TVET.
FESKEW beri pendedahan budaya dan kesenian kepada pelajar khususnya pelajar TVET.

Bukan itu saja, PMM juga memenangi Anugerah Busana Terbaik bagi kedua-dua kategori iaitu Rentak Juara & Irama Malaysia, Anugerah Susunan Muzik Terbaik Rentak Juara dan Anugerah Persembahan Terbaik bagi kedua-dua kategori (Rentak Juara & Irama Malaysia).

Kemenangan PMM diteruskan dengan meraih Anugerah Nyanyian Terbaik juga bagi kedua-dua segmen Rentak Juara & Irama Malaysia sekali gus melayakkan PMM membawa pulang RM 2,900 jumlah keseluruhan kemenangan.

Pengarah Kanan (Kompetensi) Jabatan Pendidikan Politeknik & Kolej Komuniti, Abdul Razak Sabtu menyeru mahasiswa untuk menghargai seni budaya warisan bangsa yang menjadi identiti berharga dalam pembinaan ketamadunan sesebuah Masyarakat dan negara.

"Pengetahuan seni budaya yang diajar kepada warga POLYCC khususnya mampu menjadikan mereka sebagai agen penyatuan yang memartabatkan nilai-nilai murni merentas kaum dalam usaha memperkukuhkan perpaduan rakyat Malaysia " katanya selepas merasmikan majlis penutupan dan penyampaian anugerah FESKEW Ke-12.

Pengarah program FESKEW Ke-12, Abd Rashid Husin berkata, selain mencungkil bakat kreatif anak muda untuk berkarya, pertandingan ini adalah platform bagi mereka menyalurkan kreativiti dengan lebih berkesan dan terarah.

Sementara itu, Pengarah PMM Lt Kol Norizam Sekak berkata, pertandingan seperti ini sedikit sebanyak dapat memperkenalkan budaya dan kesenian kepada pelajar khususnya pelajar TVET.

Katanya pendedahan seperti ini secara tidak langsung mampu mengekalkan warisan turun temurun supaya generasi akan datang dapat mengenali dan lebih menghargainya.

Pada majlis sama, Norizam menyerahkan Bendera FESKEW kepada Pengarah Politeknik Mersing Johor, Dr Robert selaku tuan rumah bagi penganjuran FESKEW yang Ke-13 akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:21 AM