SHARAFUDDIN (dua dari kanan) melihat aktiviti pengajaran di Kelas al-Quran bahasa isyarat golongan pekak dan bisu di ASAS, Sungai Isap. FOTO Mohd Rafi Mamat
SHARAFUDDIN (dua dari kanan) melihat aktiviti pengajaran di Kelas al-Quran bahasa isyarat golongan pekak dan bisu di ASAS, Sungai Isap. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Kelas al-Quran bahasa isyarat yang mula diperkenalkan Mei lalu memberi peluang kepada 35 pelajar dewasa golongan orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu.

Ia disediakan secara percuma oleh Akademi Sultan Ahmad Shah (ASAS), Sungai Isap, di sini. Kelas diadakan setiap Ahad, selama empat jam bermula 10 pagi.

Pengerusi Akademi Sultan Ahmad Shah (ASAS), Dr Sharafuddin Aisa Osman berkata, tujuan kelas itu bagi memastikan golongan berkenaan tidak terus buta al-Quran, kerana walaupun OKU mereka tetap perlu belajar selagi termampu.

Menurutnya, pihaknya mendapat sokongan sepenuhnya daripada Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang menyediakan bantuan kewangan dan Persatuan Orang Pekak Pahang (Pada) yang membekalkan dua tenaga pengajar berpengalaman.

Katanya, sebagai galakan pada mereka yang hadir, pihaknya menyediakan elaun kehadiran dan makan tengah hari.

Dia berkata, setiap pelajar juga dibekalkan dengan al-Quran dengan terjemahan dalam Bahasa Melayu.

"Sebelum ini orang pekak dan bisu tidak didedahkan dengan al-Quran kerana belum ada cara yang sesuai untuk mengajar mereka menggunakan bahasa isyarat, namun kini ada bahasa isyarat huruf hijayyah yang membolehkan mereka mendalami al-Quran.

"Walaupun mereka belajar bukan dengan cara menyebut atau membunyikan ayat al-Quran tetapi sekurang-kurangnya dengan adanya huruf hijayyah dalam bahasa isyarat golongan terbabit dapat mengenali al-Quran," katanya, di sini semalam.

Beliau berkata, pelajar juga diberi latihan bagi menambahkan kemahiran, antara kelemahan membabitkan tanda baris dan huruf Jawi yang membentuk perkataan.

Katanya, guru juga turut mengulas atau tadabbur secara ringkas juzuk dalam al-Quran.

Katanya, terdapat lima suami isteri termasuk seorang warga Thailand turut sama belajar dan untuk kemudahan, pelajar dibenarkan membawa anak mereka yang ditempatkan dalam satu bilik.

"Kita ingin memperluaskan lagi kelas al-Quran bahasa isyarat dengan menerima lebih ramai pelajar, namun untuk ke arah itu kita memerlukan bantuan kewangan dalam menyediakan pelbagai kelengkapan lain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 7:51 AM