FAZLIN (tengah) mengangkat busana di dalam filem sebagai inspirasi.
FAZLIN (tengah) mengangkat busana di dalam filem sebagai inspirasi.
Hafiz Ithnin

INSPIRASI fesyen sememangnya meluas. Ia boleh hadir daripada pengalaman hidup, persekitaran dan tidak boleh dinafikan daripada segmen hiburan yang dinikmati si pereka fesyen.

Bagi pereka fesyen muda, Fazlin Atiya Mohd Yunus, 26, dia melihat fesyen di dalam Filem Marie Antoinette yang ditayangkan pada 2006 mempunyai unsur persembahan fesyen yang unik.

Jelasnya, di dalam filem itu dipersembahkan pakaian pelakon utama yang menjadikan fesyen Rococo sebagai busana yang digemarinya iaitu gaun dihiasi dengan renda, riben dan fabrik halus.

Katanya, dia melihat karya busana itu sesuatu yang unik dan bukan mudah untuk dihasilkan sebagai satu pencetus idea untuk dirinya bagi menzahirkan sebuah koleksi kapsul bersandarkan 'persembahan' fesyen yang disarungkan pelakon di dalam filem berkenaan.

"Di dalam filem itu, busana hariannya boleh dilihat tebal dan menampilkan lapisan ruffles dan flounces. Selain itu, bagi menonjolkan watak Marie Antoinette yang mempunyai sisi gelap dan begitu berani.

"Saya melihat ia sebuah karya fesyen yang mempunyai nilai kelantangan wanita yang tersendiri kerana apabila pelakon menyarungkan busana seperti itu, sebagai penonton kita boleh merasai aura ingin disampaikan," katanya.

Katanya, dia mengambil masa sekitar empat bulan untuk menghasilkan empat busana dalam koleksi kapsul berkenaan dan ia bukan suatu kerja yang mudah kerana terdapat banyak perincian yang perlu diberi perhatian.

"Antaranya, saya menghabiskan ribuan paku busana sebagai perincian kepada baju dan 300 meter fabrik jaring lembut untuk membuat teknik 'gathers' yang sememangnya memerlukan masa yang lama.

"Dari segi warna yang ditonjolkan pula ialah hitam, kelabu dan perak. Koleksi ini berkonsepkan flamboyan dan dicirikan hiasan simetri melengkung, ruffels dan gathers setara dengan zaman Rococo iaitu zaman gaya tanpa peraturan," katanya.

Tambahnya, bagi membangkitkan perasaan mewah dan keaslian, dua nilai utama ditonjolkan iaitu gaya diraja dengan menonjolkan kesan bebayang besar dan ruffles yang terperinci serta fabrik quilting.

"Dikenali dengan elemen dan butir-butiran yang terperinci untuk gaya seni jalanan, saya cuba menyampaikan suasana estetika yang luar biasa dengan reka bentuk tanpa membataskan jantina.

"Selain itu saya juga menggunakan ratusan ratusan zip iaitu ia dicantumkan selari untuk kedua-dua belah bahagian turut menjadi cabaran yang perlu saya berdepan sepanjang menyiapkan koleksi kapsul ini. Baju ini juga mempunyai berat hampir lima kilogram," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:30 AM