NAIM akui teruja jadi penyiasat tetap dalam ICSYVMY 7 di TV3. FOTO Aziah Azmee
NAIM akui teruja jadi penyiasat tetap dalam ICSYVMY 7 di TV3. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin


Dikenali sebagai komposer, penyanyi dan pelakon, nama Naim Daniel, 27, kini berada di fasa popular kerana bakat seninya dan bukan disebabkan cerita sensasi semata-mata.

Aktif di media sosial dan lantang bersuara meluahkan pendapat, Naim turut menjadi sasaran netizen yang mengecam dengan pelbagai komen kesat, termasuk mengugut ibu bapanya.

Bijak bertindak mengikut saluran undang-undang, Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin mengakui enggan lagi memberi muka kepada 'keyboard warrior' yang suka membuli di media sosial.

"Sebagai selebriti yang agak dikenali, saya tahu perlu bersedia menghadap apa saja komen ditulis oleh netizen sama ada yang baik, positif dan sebaliknya. Insya-Allah, saya boleh menerima semuanya itu.

"Tetapi, apabila mendapati komen ditulis segelintir netizen yang menjadi 'keyboard warrior' ini lebih ke arah memberi ancaman untuk keluarga, terutama ibu bapa saya, itu sudah tidak betul dan harus ditangani segera.

"Jadi, saya pilih buat laporan polis sebagai perlindungan keselamatan untuk keluarga, termasuk agar individu tidak bertanggungjawab itu dapat dikesan dan ditangkap segera," katanya.

NAIM boleh terima kecaman netizen, tapi jangan babit ibu bapanya. FOTO Aziah Azmee
NAIM boleh terima kecaman netizen, tapi jangan babit ibu bapanya. FOTO Aziah Azmee

Kagum dengan ketangkasan pihak berkuasa mengesan serta menangkap 'keyboard warrior' terbabit dengan pantas, Naim berkata, saluran undang-undang adalah tindakan tepat untuk mangsa buli siber mendapat pembelaan.

"Dalam keadaan sekarang yang mana situasi buli siber seakan tidak terkawal, tindakan undang-undang adalah penyelesaian. Bagi netizen yang nak sangat jadi 'keyboard warrior' tanpa menyelidik fakta, perlu mendapat pengajaran.

"Ini kerana, adab dan akhlak sudah kurang apabila ada segelintir netizen mungkin beranggapan mereka boleh buat apa saja komen di media sosial, apatah lagi dengan menggunakan akaun palsu," katanya.

Menurut penyanyi lagu Sumpah dan Purnama ini, fikirkanlah apakah berbaloi memakai baju lokap dan dipenjara hanya kerana kesalahan menulis komen yang cuba mengancam keselamatan orang lain di media sosial?

Naim berkata, dia bersyukur dengan tindakan undang-undang diambil itu kerana tiada lagi netizen yang menulis komen mengecam sesuka hati dengan penggunaan bahasa kesat di akaun media sosialnya.

Pada Mei lalu, Naim membuat laporan polis terhadap seorang pengguna akaun media sosial yang menulis komen berbaur ugutan bunuh terhadap ibu bapanya dan disifatkan sangat melampau.

Beberapa hari selepas itu, lelaki berusia 23 tahun dari Perak berjaya ditahan polis di atas kesalahan dilaporkan Naim dan mengakui dia hanya mengikut netizen lain mengecam yang berpunca dari isu Blockout 2024.

NAIM berani ambil tindakan undang-undang kepada pembuli siber.
NAIM berani ambil tindakan undang-undang kepada pembuli siber.

Terdahulu, situasi buli siber yang semakin teruk ketika ini didapati mengorbankan nyawa seorang pempengaruh wanita di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri akibat tertekan dengan komen negatif netizen terhadapnya.

Mayat pempengaruh berusia 29 tahun yang banyak membuat perkongsian video mengenai solekan dan barangan kosmetik itu ditemui terbujur kaku di rumahnya kira-kira jam 11 pagi, baru-baru ini.

Kagum dengan Bell Ngasri

Pada 23 Jun lalu, TV3 sudah menyiarkan program nyanyian popular iaitu I Can See Your Voice Malaysia musim ketujuh (ICSYVMY 7) yang diterajui oleh Naim, Bell Ngasri, Riena Diana dan Siti Khadijah Halim sebagai penyiasat tetap.

Menggalas tanggungjawab untuk mengesan penyanyi sebenar atau penyamar dalam program itu, Naim mengakui ia sangat mencabar dan tidak boleh ambil mudah kerana sering 'tertipu' dengan peserta yang bijak berlakon.

"Sejujurnya, saya sangat kagum dengan abang Bell yang juga penyiasat tetap seperti saya dalam

ICSYVMY 7 ini. Sebabnya, dia (Bell) bijak membuat penilaian terhadap peserta dan kebanyakan tekaan dibuatnya adalah tepat.

"Susah nak teka antara penyamar dan penyanyi sebenar. Tapi, abang Bell memang terbaik antara kami berempat. Saya 'respect' sangat pada dia. Dalam kelakarnya abang Bell yang selalu buat orang lain ketawa dan terhibur, dia komited ketika meneka.

"Kebanyakan tekaannya (Bell) memang betul sampai ada kala saya rasa seperti tiada fungsi sebagai seorang penyiasat tetap. Saya teka pun asyik salah. Tapi, yang paling seronok juga, kami semua termasuk pengacara ICSYVMY 7 iaitu Izzue dan Shiha 'masuk air'," katanya.

Mengulas mengenai peserta ICSYVMY 7 kali ini, Naim berkata, ramai yang berbakat dalam nyanyian dan cuma kita tidak sangka disebabkan dikaburi dengan penampilan seperti pakaian dan gaya rambut mereka.

"Apapun, saya sangat teruja terbabit dalam ICSYVMY 7 ini yang boleh saya katakan musim terbaharu sangat 'happening' dan menghiburkan penonton. Jadi, jangan lupa tonton di TV3, setiap Ahad, jam 9 malam," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 7:01 AM