MUHAMMAD Shafiy (tengah) bersama pasukannya berjaya menjadi johan dalam pertandingan baru-baru ini.
MUHAMMAD Shafiy (tengah) bersama pasukannya berjaya menjadi johan dalam pertandingan baru-baru ini.
Nurul Husna Mahmud

PERTANDINGAN Seni Kraf Kolaj Sekolah Rendah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Nestle Koko Krunch 2024 berjaya mencungkil bakat murid dalam seni itu sekali gus memahami konsep seni visual.

Dari sudut lain, pertandingan itu juga merangsang potensi kreatif dalam menzahirkan idea dan ekspresi diri menerusi pemikiran, penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual seawal peringkat sekolah rendah lagi.

Itu dapat dilihat dengan jelas menerusi 1211 karya murid sekolah rendah diterima dalam penganjuran kali ini dan baru-baru ini bertempat di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), pertandingan peringkat zon tengah menyaksikan Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (3) selaku wakil Putrajaya berjaya memenangi pertandingan itu.

Wakil pasukan, Muhammad Shafiy Naufal Shahrul Hazman, 12, menyifatkan pertandingan seni kraf itu suatu mengujakannya dan rakan sepasukan apabila perlu menyiapkan karya seni kolaj dalam tempoh dua jam.

"Cabaran dalam seni kolaj ialah memastikan visual terhasil seperti dibayangkan apabila kerja tampalan dilakukan.

"Sangat mencabar terutamanya ketika memilih latar belakang kraf itu. Ia akan menentukan karya dihasilkan mengikut perancangan atau sebaliknya.

"Tambahan pula, ini satu pertandingan dan kami perlu menyiapkan dalam tempoh dua jam diberikan. Sudah tentu ia menambahkan lagi kesukaran dalam menghasilkannya.

"Namun kami gembira dan berpuas hati apabila karya menaiki belon panas dipilih bagi tema 'pengembaraan menggembirakan' berjaya memikat hati juri," katanya yang juga pemenang pertandingan kraf seni kolaj peringkat zon tengah.

Sementara itu Pengerusi Teknik Seni Visual Putrajaya Tun Irdawati Baharum berkata, pertandingan seni kraf kolaj itu dilihat memberi impak cukup baik bukan sahaja percambahan idea murid, tetapi turut membantu murid melihat rasional silibus diterapkan dalam pembelajaran di sekolah.

"Pertandingan seni kraf kolaj sebenarnya sangat membantu terutama dalam pemahaman silibus seni visual yang diajar di sekolah.

"Malah pertandingan ini sebenarnya menguji tahap kreativiti murid terutama dalam membuat keputusan dengan cepat untuk menyiapkan karya mereka.

"Selain itu ia memberi peluang kepada pelajar lebih kreatif kerana penganjur menyediakan pelbagai material berbeza dengan aktiviti di sekolah yang hanya menggunakan satu dua bahan sahaja," katanya.

ADNAN (paling kiri) dan Zainuren (tiga dari kiri) ketika melawat hasil karya murid selepas pertandingan zon tengah tamat.
ADNAN (paling kiri) dan Zainuren (tiga dari kiri) ketika melawat hasil karya murid selepas pertandingan zon tengah tamat.

Pihaknya berharap, pertandingan ini dapat diteruskan supaya lebih ramai murid dapat menyertai acara sebegini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Kumpulan Hal Ehwal Korporat NestlÈ Malaysia Datuk Adnan Pawanteh, pihaknya gembira dapat berkongsi visi dan komitmen dalam memupuk kreativiti dan imaginasi di kalangan pelajar sekolah Malaysia.

"Melalui kerjasama ini, kami berhasrat untuk memperkasakan anak dengan membantu mereka mencapai potensi penuh dan mengembangkan kemahiran mereka untuk masa depan.

"Di NestlÈ Koko Krunch, kami percaya pada kuasa transformatif keceriaan, meluaskan minda dan tahap kreativiti mereka tanpa had, mencipta saat ceria melangkaui waktu sarapan ke dalam setiap aspek kehidupan.

"Pada pagi ini, pelancaran Program Koko Kraf Club, satu inisiatif baru yang memberikan platform untuk mencetuskan imaginasi anak- anak muda Malaysia," katanya.

Selain itu, Adnan berkata, pihaknya komited meningkatkan nutrisi pemakanan kanak-kanak melalui inisiatif lain seperti NestlÈ for Healthier Kids (N4HK) sudah bermula sejak 2010 bekolaborasi antara NestlÈ, KPM dan Persatuan Pemakanan Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian Kementerian Pendidikan Malaysia, Zainuren Mohd Nor Atas, berharap menerusi pertandingan terbabit diharap dapat merintis bakat seni dalam kalangan murid sekolah.

"Menerusi pertandingan kraf kolaj ini dapat mencungkil bakat seni dan memberi ruang untuk mengembangkan kreativiti masing-masing.

"Bagi kementerian pula kerjasama terjalin dengan Nestle menerusi Program Koko Kraf Club diharap dapat memperhebatkan lagi program dapat memberi manfaat kepada murid kita," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 7:00 AM