SALAH satu sekolah di Melawi yang menyertai Mahang Outreach: International Pen Pal Competition tahun lalu.
SALAH satu sekolah di Melawi yang menyertai Mahang Outreach: International Pen Pal Competition tahun lalu.
Suliati Asri

BERSTATUS sekolah luar bandar tidak menjadi penghalang kepada Sekolah Menengah Kebangsaan Mahang (SMK Mahang), Kedah menjadi tuan rumah untuk program peringkat antarabangsa yang membabitkan tiga negara di Asia Tenggara.

Perkara itu dibuktikan dengan penganjuran Mahang Outreach: International Pen Pal Competition 2024 yang tidak hanya disertai pelajar dari seluruh negara tetapi juga dari India, Indonesia dan Vietnam.

Mahang Outreach: International Pen Pal Competition 2024 adalah program yang bermula dengan pemantapan Bahasa Inggeris melalui penulisan surat.

Ia adalah inisiatif bimbingan penulisan untuk sahabat pena di luar negara, sebelum dikembangkan menjadi satu program yang membabitkan pelajar sekolah di peringkat antarabangsa.

Pengetua Cemerlang Ruzana Md Noor berkata, tahun ini SMK Mahang tidak hanya menjadi hos dengan 13 sekolah dari Malaysia, tetapi juga dari sekolah dari luar negara iaitu India, Indonesia dan Vietnam bermula April lalu.

Katanya, program itu adalah projek Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) yang ringkas namun diubah suai dengan pembabitan peringkat pertama penulisan surat.

"Program ini adalah lanjutan daripada program yang dilaksanakan tahun lalu bermula April hingga Disember 2023 membabitkan tiga negara iaitu Malaysia, Malawi dan Vietnam.

"Tahun ini ia diteruskan memandangkan impak yang sangat memberangsangkan kepada pelajar sekolah ini.

"Keseluruhan 362 pelajar SMK Mahang menyertai pertandingan 'Mahang Outreach: International Pen Pal Competition 2024' tahun ini. Ketika ini kita dalam fasa menerima surat dari negara-negara terbabit," katanya.

Ruzana berkata, sebagai penganjur program bagi tahun kedua, pihaknya komited menjadikan pertandingan ini sebagai acara tahunan bagi mengasah bakat pelajar.

Katanya, sebagai sekolah kategori luar bandar, kejayaan penganjuran program ini pada tahun lepas membuka mata ramai pihak akan kebolehan sekolah ini menganjurkan program kolaborasi berskala besar.

"Berkonsepkan sahabat pena, program tahun ini bukan sahaja memfokuskan pada kemahiran menulis dan bertutur, namun ia lebih luas dan membabitkan pengetahuan pelajar mengenai Sustainable Development Goals (SDG).

"Cetusan idea dari guru penyelaras Highly Immersive Programme (HIP) sekolah ini Huzairul Hazuar Saidin, program ini mendapat kelulusan dan sokongan dari Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), Kementerian Pendidikan Malaysia," katanya.

RUZANA (dua dari kanan) dan Huzairul bersama pelajar menunjukkan surat  yang diterima daripada rakan-rakan dari Vietnam.
RUZANA (dua dari kanan) dan Huzairul bersama pelajar menunjukkan surat yang diterima daripada rakan-rakan dari Vietnam.

Tambah Ruzana, program ini juga antara usaha yang diambil untuk membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar selaras Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Katanya, ia dilaksanakan dengan kaedah tersendiri bagi menarik minat pelajar untuk menguasai Bahasa Inggeris menerusi aspek penulisan, khasnya dan seiring dengan matlamat Sekolah TS25 yang bermatlamat Kemenjadian Murid dan Sekolah Berkualiti.

"Pertandingan ini membabitkan tiga peringkat iaitu Letter Writing and Decorating, Mini Documentary dan Live Video Discussion. Setiap peringkat dibahagikan kepada tiga kategori berbeza.

"Bertemakan 'World Sustainability,' tahun ini kita memfokuskan pada SDG seperti yang digagaskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Tahun lalu, seramai 325 dari 369 dari pelajar kami memperoleh gred B untuk markah akhir kokurikulum mereka. Gred Purata Sekolah (GPS) pada tahun 2022 adalah 1.98, tetapi pada 2023, ia meningkat ke 1.90," katanya.

Kejayaan penganjuran program ini membolehkan SMK Mahang dipanggil pihak luar untuk mengadakan pameran program HIP tahunan mereka.

Sementara itu Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah itu Abd Rasid Abdul Rahman berkata, inisiatif berkenaan membuktikan status sekolah tidak menjadi halangan untuk mereka membuktikan kemampuan hingga ke pentas antarabangsa.

Katanya, ia sekaligus meningkatkan keyakinan pelajar untuk bersaing dengan rakan sebaya dari dalam dan luar negara serta mencipta lebih banyak kejayaan pada masa depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:20 AM