Adam ketika sidang media selepas memberikan taklimat pergerakan operasi SAR di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kota Kinabalu. FOTO Izhari Ariffin
Adam ketika sidang media selepas memberikan taklimat pergerakan operasi SAR di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kota Kinabalu. FOTO Izhari Ariffin
Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Usaha mencari dan menyelamat (SAR) enam mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot karam di perairan Pulau Mengalum, 28 Januari lalu, diperhebat dengan menggunakan bantuan 50 bot nelayan tempatan melalui kaedah memukat membabitkan keluasan 400 batu nautika di antara Pulau Mengalum dan Pulau Tiga, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Daerah Kota Kinabalu Laksamana Pertama Adam Aziz berkata, pihaknya bergantung harap dengan kaedah itu memandangkan penemuan mayat wanita di perairan berkenaan pada Sabtu lalu.

"Selain operasi SAR yang kita jalankan seperti biasa pada hari ke sepuluh ini, pasukan penyelamat turut bergantung harap dengan bantuan lebih 50 bot nelayan tempatan untuk menggunakan kaedah memasang pukat di perairan Pulau Mengalum hingga ke Pulau Tiga membabitkan keluasan 400 batu nautika persegi pada hari ini.

"Jika melihat kepada keberangkalian, adalah mustahil semua mangsa dapat ditemui dengan selamat dan sehubungan itu, kita berharap dengan kaedah memukat ini akan membuahkan hasil termasuklah penemuan mayat berkenaan," katanya pada sidang media di Pusat Gerakan Operasi APMM Sabah, di sini, hari ini.

Sabtu lalu, mayat wanita ditemui pada jam 9.25 pagi selepas tersangkut pada pukat nelayan di antara Pulau Mengalum dan Pulau Tiga, di sini.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Adam berkata, pihaknya mencapai persetujuan mesyuarat bersama beberapa agensi penguatkuasan lain, pagi ini, untuk melanjutkan tempoh operasi SAR sehingga mendapat arahan seterusnya daripada pihak atasan.

"Dalam mesyuarat bersama agensi penguatkuasaan pagi ini, kita sebulat suara melanjutkan tempoh operasi SAR di perairan Sabah, Sarawak dan Brunei Darussalam sehinggalah semua mangsa berjaya ditemui.

"Selain itu, kita juga akan mendapat khidmat kaunseling daripada Hospital Queen Elizabeth (HQE) pada hari ini untuk menaikkan motivasi semua pihak yang terbabit dalam SAR," katanya.

Pada 28 Januari lalu, bot dinaiki 31 orang termasuk 28 pelancong China karam ketika dalam perjalanan ke Pulau Mengalum dan sehingga kini, 25 sudah ditemui dengan 22 selamat dan tiga meninggal dunia manakala enam masih hilang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 2:52 PM