SOUTHGATE kecewa selepas gagal membantu England muncul juara. FOTO AFP
SOUTHGATE kecewa selepas gagal membantu England muncul juara. FOTO AFP
Reuters

Berlin: Jurulatih England, Gareth Southgate, menghadapi kekecewaan selepas kalah dalam final Euro kedua berturut-turut, tetapi menunjukkan sikap besar hati dengan mengakui Sepanyol adalah pasukan terbaik yang layak memenangi perlawanan itu.

Sepanyol menjuarai kejohanan selepas memenangi semua tujuh perlawanan di Jerman, namun England memberikan tentangan sengit dalam final sebelum kalah 1-2 hasil gol kemenangan Mikel Oyarzabal pada minit ke-86.

"Seperti biasa dalam perlawanan seperti ini, ia membabitkan perbezaan yang tipis. Tetapi saya rasa mereka adalah pasukan terbaik dalam kejohanan ini dan secara keseluruhan mereka layak untuk menang.

"Kami bersaing hingga ke penghujung final. Saya rasa hari ini kami tidak dapat mengekalkan penguasaan bola dengan cukup baik," kata Southgate selepas Sepanyol menguasai perlawanan dengan 63 peratus penguasaan bola dan mengatasi England dalam banyak tempoh permainan.

"Mereka menekan dengan sangat baik dan kita perlu keluar dari tekanan itu tetapi kami tidak dapat melakukannya dan akhirnya ia memberi mereka lebih banyak kawalan dalam permainan, yang boleh melemahkan kami sedikit.

"Bagaimanapun, kami masih berada dalam perlawanan ketika kami menyamakan kedudukan, jadi permainan masih terbuka," kata Southgate, sambil meratapi peluang lewat England apabila satu tandukan diselamatkan atas garisan gol.

Southgate, yang ingin memberikan England trofi pertama sejak kemenangan Piala Dunia 1966, enggan mengulas mengenai masa depannya.

"Ini akan mengambil masa untuk menilai semua aspek sebenar," katanya, mengakui prestasi kurang memuaskan kapten, Harry Kane yang kurang tajam dan dikeluarkan.

"Secara fizikal, ia tempoh yang sukar bagi dia. Dia datang dengan kekurangan permainan dan tidak mencapai tahap yang kami semua harapkan," tambah Southgate.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 6:31 AM