BOMBA membawa keluar mayat mangsa kebakaran.
BOMBA membawa keluar mayat mangsa kebakaran.
PASUKAN forensik bomba dan penyelamat memeriksa punca kebakaran rumah flat di Permyjaya, Miri.
PASUKAN forensik bomba dan penyelamat memeriksa punca kebakaran rumah flat di Permyjaya, Miri.
KEADAAN rumah flat serta kereta yang terbakar, semalam.
KEADAAN rumah flat serta kereta yang terbakar, semalam.
Oleh Abd Rahman Adam

Miri: “Mengalir air mata saya melihat dia (Tang Poh King) menjerit meminta tolong melalui tingkap bilik sambil melontar kunci rumah dengan mengharapkan penduduk dapat membantu mereka anak beranak.

“Malangnya, api marak terlalu pantas memusnahkan rumah jiran saya itu. Penduduk tidak sempat menyelamatkan mereka,” kata Dwi Astutik, 40, saksi kebakaran sebuah rumah kos rendah yang meragut nyawa tiga beranak di Taman Quadruplex, Permyjaya, semalam.

Dalam kejadian jam 1.45 pagi itu, Tang, 46, bersama suaminya, Tiong Ing Tai, 61, dan anak perempuan mereka, Tiong Yong Wui, 14, maut dalam kebakaran rumah dipercayai akibat perbuatan khianat individu yang berdendam akibat salah faham dengan keluarga mangsa.

Ketiga-tiga beranak itu terperangkap dalam bilik rumah berkenaan apabila bahagian tepi rumah yang diubah suai menjadi kedai runcit terbakar manakala jeriji pintu di bahagian belakang yang menempatkan bilik mereka terkunci dari luar.

Katanya, sebaik memperoleh kunci yang dilontar Tang, penduduk di kawasan taman berkenaan cuba memberi bantuan dan berjaya membuka jeriji pintu terbabit, namun gagal membuka pintu utama bilik berkenaan kerana api marak terlalu pantas.

“Apabila jeriji terbuka, tiba-tiba beberapa bunyi letupan kedengaran disusuli nyalaan api yang kuat dan hampir menyambar penduduk kampung yang cuba membantu ketika itu.

“Kami tidak dapat berbuat apa-apa dan apabila api semakin marak, penduduk tidak berani meredah api untuk membantu mangsa,” katanya.

Dwi berkata, jeritan terakhir mangsa masih terngiang di telinganya membuatkan dia terlalu sedih.

Pegawai Kanan Bomba II Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Ahmad Nizam Sapaiee berkata, tiga jentera bersama sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 1.52 pagi.

“Kami menyerahkan kes ini kepada polis untuk tindakan lanjut kerana dipercayai ada unsur jenayah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Februari 2015 @ 5:35 AM