MAZLAN melawat Ainul yang cedera selepas ditembak penyamun, semalam.
MAZLAN melawat Ainul yang cedera selepas ditembak penyamun, semalam.
Oleh Rosliza Mohamed

Kota Bharu: Suspek yang terbabit dalam kejadian samun bersenjata sehingga menyebabkan kematian seorang peniaga di Kampung Beris Lalang, Bachok, empat hari lalu, dipercayai masih berada di negeri ini.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya sudah membuat serbuan di rumah suspek, namun dia licik melarikan diri.

Katanya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan juga dianalisis dalam usaha mengesan suspek yang sudah dikenal pasti dan dua lagi rakannya.

“Suspek yang dikenal pasti ialah Anuar Mohammad, 37, atau lebih dikenali sebagai Nuar Ayam.

“Kami percaya semuanya masih berada di negeri ini dan tangkapan akan dilakukan pada bila-bila masa,” katanya ketika ditemui di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, dekat sini, semalam.

Beliau terdahulu melawat seorang mangsa kejadian samun bersenjata itu yang juga anak perempuan peniaga terbabit, Ainul Wahida Mustaffar, 18.

Dalam kejadian itu, Mustaffar Sidik, 52, meninggal dunia ketika dalam perjalanan selepas terkena tembakan di dada kiri dan lutut kanannya.

Mazlan berkata, siasatan awal kejadian itu bermotifkan samun dan suspek berang apabila seorang mangsa membuka topeng mukanya dan bertindak melepaskan tembakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Februari 2015 @ 9:21 AM