PASAR borong yang disamun dua lelaki bersenjatakan pistol.
PASAR borong yang disamun dua lelaki bersenjatakan pistol.
Yusmawati Mhd Yusof


Melaka: Tujuh individu kerugian kira-kira RM5,000 apabila wang tunai dan telefon bimbit mereka disamun dua lelaki bermotosikal dipercayai bersenjatakan pistol di Pasar Borong Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Batu Berendam di sini, awal pagi ini.

Difahamkan dalam kejadian kira-kira 2.15 pagi itu, kedua-dua suspek yang memakai topi keledar berpenutup penuh memberhentikan motosikal di hadapan pasar berkenaan sebelum dipercayai melepaskan dua das tembakan ke udara dan masuk dalam pasar terbabit.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, ketika kejadian peniaga di pasar borong itu baru sahaja memulakan perniagaan sebelum didatangai suspek dipercayai bermotosikal dan memakai topi keledar berpenutup penuh serta berjaket.

"Kedua-dua suspek yang masih tidak dikenal pasti identiti itu kemudian menyamun tujuh individu terdiri daripada peniaga dan pelanggan di pasar berkenaan dengan melarikan wang tunai kira-kira RM5,000 dan enam telefon bimbit pelbagai jenama.

"Suspek yang dipercayai bersenjata kemudian melarikan diri dan kita masih menyiasat jenis senjata yang digunakan kerana siasatan awal di lokasi tidak menemui sebarang bukti fizikal yang boleh dikaitkan dengan kejadian tembakan," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, pagi ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Disember 2014 @ 5:47 PM